Tokoh Lagenda Seni Silat Sendeng Haji Hamid

Haji Jamaludin Shahdan dan gurunya Haji Hamid Hamzah

M

M

Tuan Haji Jamaluddin Bin Shahdan

Dalam Kenangan

Kursus Pemantapan Sendeng Haji Hamid

Kursus pemantapan sendeng ini diadakan di Kuala Dong, Raub.

Showing posts with label Tinta Pengarang. Show all posts
Showing posts with label Tinta Pengarang. Show all posts

Wednesday, August 10, 2016

PERGINYA SEORANG GURU

Bingkis Buat Guru

Khamis, 14 Julai 2016 bersamaan 9 Syawal 1437 Hijrah. Hari ini adalah hari yang paling mendukacitakan dalam sejarah penubuhan Persatuan Seni Silat Sendeng Haji Hamid Negeri Pahang. Kami telah kehilangan sebutir permata yang sangat berharga buat kami, iaitu guru dan ayahanda yang kami kasihi, Tuan Haji Jamaluddin bin Shahdan. Beliau yang sememangnya menghidap penyakit tekanan darah tinggi telah diserang strok sehari sebelum pemergiannya dan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12 tengah hari di Hospital Temerloh. Pemergian beliau bagi meninggalkan satu lubang besar dalam hati kami. Tokoh yang tidak boleh dicari ganti.

Jasa Allahyarham terlalu banyak buat kami. Tidak sekadar dalam dunia persilatan sahaja bahkan turut merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Perjalanan hidup beliau yang penuh dengan pengalaman menjadikan kata-kata yang keluar dari mulut beliau begitu berharga. Bekalan yang sangat berguna dalam menempuh hari mendatang. Sungguh Allah S.W.T sahajalah yang dapat membalas jasa beliau.

Semoga Allah S.W.T mengampunkan segala dosa-dosa Allahyarham dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman. Bagi pihak Tuan Haji Jamaluddin, saya meminta semua yang mengenali beliau dapat memaafkan segala kesalahannya andai ada silap dan salah beliau terhadap tuan-tuan semasa hayatnya.. Al-Fatihah..~

Cerita sebagai Pedoman


Pada zaman dahulu,Di satu kampung di pedaman negeri China, terdapat seorang lelaki yang mengusahan perusahan membuat payung dari buluh dan kertas minyak secara kecil-kecilan ( Payung ni juga popular zaman dulu kat sini.)

Pada suatu hari beliau didatangi seorang budak miskin , yatim piatu yang berpakaian compang camping dalam keadaan comot menangis meminta kerja dari beliau. Kesihan melihat budak itu, lelaki itu bersetuju memberikan dia kerja disamping menyediakan tempat tinggal serta makan minum.

Maka bekerjalah budak itu dengan penuh tekun dan sabar membantu lelaki itu bertahun-tahun lamanya. Berkat kecekalan budak itu, perniagaan payung lelaki itu bertambah maju dan berkembang. kedai itu mampu menggaji beberapa orang lain lagi sebagai pekerja Budak itu pula sudah menguasai keseluruhan aspek pembuatan payung dikedai tersebut itu.

Kini orang itu sudah pun tua dan perniagaan itu sudah dikendalikan oleh budak lelaki itu yang sekarang ini berusia awal 20an. Lelaki tua itu hanya duduk di rumah dan mengira keuntungan hasil jualan payung

Lama kelamaan remaja itu tidak berpuas hati kerana pada pandangannya segala titik peluh hasil kerjanya telah dikaut oleh lelaki itu tadi.

Pada suatu pagi, remaja itu berkata kepada lelaki tua itu yang beliau ingin berhenti kerja dan memulakan penghidupan yang baru ditempat lain.

Remaja itu membuka kedai payung disuatu bandar yang berhampiran kedai lama itu tadi. Beliau pun membuat payung sebagai mana yang beliau pelajarinya dahulu. Apabila siap semua payung-payung itu maka beliau membuka sekaki payung untuk melihat keindahan payung tersebut.

PRAK!!!
Pecah buluh payung tersebut! kehairanan remaja itu membuka payung-payung yang lain.
PRAK! PRAK! PRAK!

Kesemua payung yang beliau buat tu pecah dan terbelah!

Remaja dahulunya berbangga dengan kemahiran yang beliau miliki kini berasa sedih dan kerdil kerana kemahiran yang dimilikinya itu tidak dapat menghasilkan walaupun sekaki payung pun secara bersendirian.beliau sendiri tidak tahu mana silapnya hingga kesemua payung-payung itu menjadi begitu.

Dengan menebal muka beliau kembali ke rumah orang tua itu sambil membawa beberapa hadiah untuk memohon maaf sambil ingin merayu untuk kembali bekerja ditempat yang lama.

Apabila pintu rumah diketuk. Yang membukanya hanya anak gadis orang tua itu.
" Ayah mana? Tanya pemuda itu.
" Ayah tak ada, dia pergi rebus buluh" Kata anak gadis itu.

Segera pemuda itu menyerahkan hadiah-hadiah itu dan berlari pulang ke kedainya. Ooo buluh kena rebus dahulu baru boleh buat payung!!!

Pengajarannya
*Walaupun kita tahu banyak, tapi kunci setiap ilmu itu dipegang oleh guru.
**Kita rasa tahu banyak tetapi ada banyak lagi sebenarnya yang kita tak tahu.
*** hormatilah guru-guru lama kerana ada banyak yang mereka tidak ajar lagi.

sekian wassalam

MUHASABAH DIRI

Jawapan kepada soalan lazim, mengapa 10 jadi 9 jadi 8.

Ungkapan popular dalam persilatan melayu.., Guru tidak akan mengajar semua yang dia tahu kepada muridnya.kerana takut murid akan melawan guru. Sekiranya itu berlaku sekurang-kurang guru tersebut ada 'ibu' buah kepad semua buah yang diajarnya ke murid tersebut.

Malanglah begitu kalau ianya benar-benar berlaku. 1. Dilabelkan guru sebagai kedekut ilmu 2. Murid berkemungkinan akan lawan guru bila dah hebat. Apa punya peradaban melayu entah. Kalau ada pun kes-kes terpencil aje, apatah lagi kalau nak lawan balik guru. memang tak ada.

Tapi kalau kita belajar di sekolah, kita akan tahu semua guru akan mengajar perkara yang asas sahaja. Untuk memantapkan diri kena berlatih dan berlatih tanpa jemu. Tapi kita yang dah rasa jemu ni label pulak guru kita ni kedekut. Di situ kita lihat hati kita ni tak bersih dan ikhlas dalam belajar ilmu ini. Kita yang belajar ni perlu tahu letak tempat dimana kita duduk ni:

" Kita tunggu guru bagi bukan kita minta guru bagi "
Kenapa silat ni makan masa bertahun untuk mahir bukan berbulan apatah lagi berminggu. Setiap gerak yang kita belajar kita 'asamkan' sampai masak. baru ketahap lain. Tetapi yang penting seseorang guru itu akan melihat ketulusan dan keikhlasan hati kita. Guru membaca riak dan niat hati kita. Bagi yang ada riak payahlah nak dapat yang baru, Bagi yang ikhlas dan jujur mudahlah dapatnya. Itu bukan namanya pilih kasih atau kedekut tetapi sebenarnya seseorang guru itu mesti yakin dahulu ilmu yang disampaikan, diturunkan kepada guru yang amanah.


Musabah diri kita sikit. kita murid ni adab bergelanggang tak ada.
1. Selagi guru tak sampai, bukan nya nak berlatih atau warm up.
2. Bila berhenti berlatih 'take 5' minum air lepas tu ambik handfon.
3. Masa latihan hanfon berbunyi terus berlari ketepi ambik, jawab. kurang ajar!!! guru ada mengajar kat depan tu..
4. Kat rumah lansung tak berlatih.
5. duduk kat takuk sama tak bergerak terus rasa boring. nak benda baharu nak banyak. tapi benda yang lama tak kemas lagi pergerakannya lagi, malah tak ingat pun lagi. Apatah lagi tak faham pun makna pergerakannya pun dah nak kalih.
6. Tahu sikit tunjuk banyak, jalan lagaknya pendekar.
7. Tak konsisten. nak datang dia datang, malas tak datang.
8. Time bola memang tak pernah nampak muka dia.
9. Berani pula minta benda yang bukan-bukan.. Ini banyak kali Aki terkena. datang tak tau dari mana anak murid siapa empunya diri siapa.Baru 10 minit bercakap dah mintak kipas senandung la, tujuh hari kuntau la. dan lain-lain. Ada banyak lagi.

berlatih dan perkemaskanlah apa kamu tahu, baru mudah guru nak memberi.
Sebelum melabel guru dengan itu dan ini cermin diri kita dulu.
Banyak kali bila masa bersilat Aki melihat seseorang itu dan bercakap orang itu akan jadi begitu dan begini. Lepas 2 tahun betul yang Aki cakap.
" Riak ikan di air, sudah tahu jantan betina ".

Ada yang datang nak buka gelanggang nak mengajar.., Menggeleng kepala Aki selepas tengok dia membuka langkah...
bukan laqak guru lagi., kasar.

Tuesday, May 24, 2016

SILAT MELAYU

SILAT MELAYU
Apakah erti Silat Melayu di mata kita hari ini..

Monday, April 4, 2016

BERTEMU LAGI!

As'salamualaikum. Lama sudah rasanya blog ini tidak dikemaskini. Ianya berikutan beberapa masalah tenikal yang menghalang dari ia dikemaskini. Namun alhamdulillah sudah selesai. Insya Allah selepas ini blog ini akan aktif semula setelah beberapa bulan berehat. Untuk mendapatkan perkembangan aktiviti kami bagi tempoh beberapa bulan lalu, sila lawati facebook kami. Taip sahaja Persatuan Seni Silat Sendeng Haji Hamid dan ikuti segala perkembangan aktiviti kami telah dimuatnaik di sana. JUMPA LAGI!

Admin AR

Monday, June 15, 2015

CERITA RENCONG ACHEH LAMA

Rencong Acheh (Gambar hiasan)

Cerita Rencong Acheh lama..,

Kawan saya sudah lama berhajat untuk menunjukkan rencong acheh warisan keluarga beliau kepada saya namun asyik terlupa sahaja.

namun, akhirnya bertemu jodoh juga. cantik sungguh matanya terdapat ayat-ayat quran yang pudar tercanting di kedua-dua belah matanya tapi timbul. Lama sungguh membeleknya dengan takjub. Selain daripada selawat dan bismillah pembuka kalam,. terdapat satu ayat dalam bahasa Arab yang bukan dari Al Quran. kebetulan ada kawan yang mempunyai rakan kampung yang faseh arab. dihantarnya gambar rencong itu kepada beliau.

5 minit kemudian dapatlah jawapannya
" Tiada ilmu pedang kecuali pemiliknya"
begitulah tafsirnya sangat ringkas tapi mendalam maknanya.
Saya memegangnya, mengilasnya menggayakan tikaman, memusingnya.
Kawan saya berkata sambil tersenyum

" Ini baru iya anak tok guru, bukan macam sikawan kita sorang tu. nampak aja benda ni mula bercerita tok moyang dia pendekar itu, pernah berperang kat situ sini. Aleh-aleh bertanya ini benda apa yek? macam mana nak pegang yek? Meluat aku mendengarnya.

Saya tersengeh kembang kena puji. sebelum saya memulangkannya saya berpesan. " Jagalah baik=baik senjata ni matanya sangat baik dan kukuh. biasanya bila dapat senjata lama yang kecil-kecil pakaiannya cantik, tapi matanya tinggal genting aje.

Friday, May 29, 2015

PERIT SEORANG GURU

Gambar Hiasan

Peritnya jadi seorang guru.

Pagi ni ada insiden di kantin sekolah, bermula dengan teguran seorang ustazah keatas seorang pelajar lelaki pasal rambutnya yang sylo ala K Pop. Pelajar yang bemasalah pun menjawab ustazah tersebut dengan jawapan yang kurang sopan serta menunjukkan rasa tak puas hati.

Kebetulan saya baru keluar dari kantin untuk mengambil soalan periksa bersama dengan seorang lagi rakan guru. Ustazah itu terus mengadu kepada saya. Sementara pelajar itu terus menyangkal kesalahannya sambil berhujah dengan cara tak sewajarnya bagi seorang pelajar bila bercakap dengan gurunya.

Jawapan pelajar itu telah menaikan kemarahan kawan saya yang satu ni.

" Engkau menjawab macam ni, ni kenapa? Engkau ingat engkau ni siapa? Kawan saya meninggikan suara.
Pelajar itu pun juga menaikan suara, sambil matanya merah dan berair. kawan saya pun pergi rapat ke pelajar tersebut,

"Engkau ingat engkau tu siapa"
beliau terus memberi tepukan yang agak kuat ke kedua-dua pipi pelajar tersebut. Nak kata apa yek? macam penampar sandwich kot, tapi tak hayun pun.
Pelajar itu pun terus bertindak berjalan dan berkata antaranya

" C****K* dan B*** "

" Engkau mari sini" tengking kawan saya tadi. tetapi tidak diendahkan. Saya yang dari tadi mendiamkan diri segera memegang pelajar itu supaya berhenti.

Tangan dia pulak naik. Hayun tangan itu dapat saya elak dan tangkap. Pakai buang luar dapat saya jatuhkan budak itu tapi tangannya saya tidak lepas supaya tak cedera dagu. bila dah jatuh kebawah saya kunci. terkulat-kulat budak tu tak boleh bergerak.

" Mengucap, bawak bertenang" saya kata berulang kali.
Lepaskan saya kata budak itu.

" cikgu tak marah awak, kalau cikgu nak pukul awak dari tadi cikgu boleh buat, mengucap bawak bertenang. lembutkan tangan awak, selagi tangan keras saya tak lepaskan" saya kata berulang ulang kali.

Akhirnya pelajar itu melepaskan gengaman penumbuk dia dan saya pun melepaskan kuncian saya. beliau pun dan bertenang saya pun suruh dia duduk dan beliau pun dinasihatkan oleh guru kauseling yang kebetulan melihat kejadian itu dari awal

Kawan saya tu pun saya suruh bertenang juga.....panjang lagi kisah kat situ. tapi saya biarkan sahaja berdiam diri sementara kawan saya yang marah tadi bersyarah kat pelajar tu. Alhamdullilah pelajar sudah boleh menerima kesalahan beliau. Saya diamkan diri aje dan kepada cikgu yang lalu lalang saya kata tak payah banyak masuk campur.

Lepas itu saya bawa dia ke bilik disiplin dan meminta beliau menulis pengakuan. sementara itu saya terangkan apa yang sudah dia ucapkan dan buat.

Menangis pelajar itu, katanya dia tak sedar dia berkata demikian.
Saya menceritakan betapa besarnya kesalahan dia. kerana termasuk dengan jumlah hari dia ponteng sekolah, tidak ada masalah untuk buang sekolah. Tidak sekali pun dalam bilik disiplin itu saya meninggikan suara atau memarahinya.

Setelah selesai lapuran tersebut. saya bertanya kepada pelajar tersebut:

" Cikgu ada marah awak ke? ada pukul awak?
" Takde" jawab pelajar tersebut

Saya pun melepaskan pelajar untuk masa rehat. Pengakuan pelajar itu saya serahkan kepada bilik kaunseling.

Entah macam mana ada pulak tengahhari itu orang bertanya samada ye ke saya pukul budak sampai pengsan.

Saya cakap
"tanya orang kantin ada tak saya pukul budak "
. dia orang cakap" mana ada, cikgu sidek tak pukul pun."

Inilah bahaya CNN yang tak bertauliah ni. Kalau dengar dek orang kampung lain pulak jadinya
ps
bisul dirumah biasanya akan pecah disekolah

Monday, May 18, 2015

SILAT SEBAGAI WADAH PEMBINAAN ANAK MUDA SERBA LENGKAP

Gelanggang Sendeng Haji Hamid SMK Seri Raub
Merentas zaman, silat sudah terbukti merupakan suatu disiplin ilmu yang cukup unggul. Semenjak zaman dahulu, silat memainkan peranan yang cukup penting. Di era Kesultanan Melayu Melaka, silat berperanan sebagai ilmu pertahanan dan tonggak kekuatan sesebuah negara. Oleh kerana itulah para pembesar ketika itu dipilih dari kalangan individu yang memiliki ilmu kependekaran yang tinggi. Demikian juga perihalnya ketika zaman penjajahan British, Jepun dan Komunis, silat telah memainkan peranan yang cukup besar dalam memastikan survival orang Melayu ketika itu. 

Sungguh, silat adalah anugerah Allah yang cukup besar buat bangsa Melayu. Suatu keturunan manusia yang kecil dari segi fizikalnya tapi dikurniakan ilmu yang hebat bagi mengimbangi kekurangan fizikal itu.

Dewasa ini silat mempunyai peranan yang baru. Silat adalah wadah pembangunan anak muda yang serba lengkap. Pengajaran dan pembelajarannya merangkumi aspek ketahanan fizikal, mental dan spiritual. Anak muda khususnya diasuh agar menjadi manusia yang berdisiplin, menghormati orang tua, menghormati guru dan menghormati sesama ahli persilatan. Selain itu mereka juga dididik menjadi manusia yang berani dan tidak takut akan sebarang cabaran. Kekuatan inilah yang menjadikan mereka manusia yang cekal dan tabah dalam menjalani kehidupan.

Selain itu pesilat juga diterapkan dengan ilmu agama sebagai bekalan kerohanian. Sejarah membuktikan para pesilat dan pendekar Melayu yang hebat lazimnya terdiri dari individu yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. Perhatikan sahaja Mat Kilau, Dato' Bahaman, Tok Janggut, Panglima Salleh, Haji Hamid Hamzah, semuanya adalah individu yang berpegang teguh kepada ajaran Allah S.W.T dan Rasul-Nya.


Cikgu Nasir menyampaikan kuliah Maghrib kepada para pesilat selepas selesai mengimamkan solat

Justeru dapatlah disimpulkan bahawa silat bukanlah suatu ilmu yang tidak efisien lagi di zaman ini. Namun begitu, seperti kata pepatah, hanya jauharilah yang mengenal manikam. Aktif bersilat bukan bermakna mengabaikan pelajaran, kerjaya dan agama..~


Semoga para pesilat Sendeng Haji Hamid semuanya menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat...~

Sunday, March 29, 2015

SILAT & MMA

SILAT OLAHRAGA
Silat ni kalau masuk MMA boleh menang Ke?

Itulah soalan yang selalu dilontarkan oleh orang-orang yang suka menyakat dalam mana-mana fb persatuan silat. Biasanya soalan-soalan itu tidak dibalas atau respon kalau ada pun biasanya dijawab dengan jawapan-jawapan yang banyak diselit dengan perasaan kecewa dan marah.

Jangan marah..dan terus membalas dengan kenyataan-kenyataan yang kurang matang kerana jawapan itu mebolehkan orang menilai diri kita sebenarnya sebalik berilah jawapan yang rasional.

'Direct confrontation' sebenarnya tidak matang iaitu balas-balas cakap. kita dah kalah bahagian tu jangan jadi " menang sorak tapi kampung tergadai".

Kadang-kadang Aki mengajar 'the Art of pure hand to hand Combat'. saya sendiri pun terkejut bagaimana sendeng dan silat secara umumnya kelihatan begitu moden sekali.

Kedudukan pasangnya begitu berbeza sekali. begitu relaks dan neutral. kalau kita berkuda-kuda dan berpasak. itu namanya kita bertahan. kuat kubu kita lemah serangan kita. Tapi kalau lawan dengan Mat Saleh yang 5 kaki 7 sekurang-kurangnya mampu kita sekadar bertahan saja ke? tanya Aki. Jadi kedudukan mesti mobile dan neutral kerana kita bertahan dan menyerang bertukar-tukar dengan cepat.

Tiada bunga-bunga dan menangkap-nangkap pukulan orang dan tiada lagi kunci mengunci. kalau nak kunci setara mana nak kunci kederat Mat Saleh ni kata Aki lagi.

Jadi macam kedudukan boxing pun ada, macam sendeng pun ada. footwork sangat 'nimble' pastu pukul,pukul dan pukul dari straight punch sampai ke pukul sendeng. Attack dan counter attack. Silat sendeng jadi sangat moden penyudahnya. tepat pukulan kena sendi dan bahagian-bahagian lemah musuh.

Jadi maka disini buah pukulan sendeng yang dikata pantas dan padu menjadi penentu.
Tapi kalau masuk MMA ada undang-undangkan. maka banyak pukulan ni kira batallahkan.

lepas tu bila musuh guna ' power to weight ' atau kata ringkas kederat badan untuk menumbangkan kita untuk buat grapple, choke atau hold sebagaimana jujitsu dalam gelanggang octagon susah juga kitakan. sebab majoriti silat kita memang fail bahagian ni. Kena fikir juga tu.

Tapi Aki tidak menyediakan anak muridnya untuk MMA. Dia sediakan anak muridnya untuk actual fight. Apabila nyawa diri dan keluarga, maruah bangsa agama dan negara menjadi pertaruhan.

So balik kepada soalan. boleh menang ke? Kalau latihan yang cukup, badan mantap dan boleh mengatasi kelemahan silat dalam floor grappling, choke dan hold kita mempunyai peluang yang sama rata.

kalau dalam actual fight? insyaAllah boleh. Tapi dalam gaduh betul-betul mana ada main adil betul tak? Jadi latihan yang mencukupi akan jadi penentu.

lagi satu Aki cakap 'It's all about conserving your energy' iaitu mengunakan tenaga sikit untuk menumbangkan lawan. simpan tenaga katanya. sebab dia kata majoriti orang melayu ni tahap latihannya tak cukup kalau nak dibandingkan pesilat-pesilat dari luar. bergaduh ni hodoh so jangan mimpilah dan terpengaruh nak buat style-style macam dalam filem tu

Tuesday, February 17, 2015

CERITA MURID TAK KENAL GURU 2

Lokasi : SMK Seri Bentong
Masa : 9. 30 pagi
Tarikh : Fui lama dah masa tu Aki pun tak sakit lagi saya baru habis belajar USM
Peristiwa Latihan silat untuk Khatam


Selepas saya menghantar Aki di dewan Sri Bentong, saya duduk menyandar kat tepi kereta saya sambil memerhati sesi latihan itu yang sedang berjalan.
Tiba-tiba saya didatangi oleh seorang pakcik..

"Assalamualaikum" tegur beliau

"Waalaikumsalam" jawab saya

" Baguslah, budak budak sekarang masin minat lagi kesilat, Budak sekarang bukan lagi ke benda-benda macam gini" cerita beliau dengan bersungguh-sungguh

"Betul cakap pakcik tu saya setuju" kata saya sambil mengangguk-nganggukkan kepala.

" Awak menghantar siapa"

" Tak ada siapa, saja nak menengok-nengok" jawab saya

" Saya dulu pun belajar silat" kata pakcik sambil tersenyum

" Ye ke?, silat apa?"

" silat sendeng, Saya belajar dengan cikgu Jamal. dia duduk di Ketari nuh" tambah beliau
Saya semakin keliru kerana Aki memang jelas pada pandangan kami tengah mengajar. dan yang paling best sekali bila beliau menambah

" Ini silat apa ye? Guru silat tu siapa ye?"
Saya pun dah tahu dia ni kelentong menjawab

" Entahla , saya pun tak kenal"

Lalu segera minta undur dengan alasan nak menyekik kat kedai depan adei.., adei

BAJU OH BAJU

Di Klinik

Bila aboh jumper loktor...baju oh baju...baru2 ni cikgu adelake TF...macam biasa tak pakai helmet..adehai jerla kan..dah beli barang keluarlah menghala ke moto...tetiba disapa satu suara.." ni pakai baju silat sendeng ni pandai bersilat ke" ujar suara tu..sedikit nada ajar kurang ..cikgu pon noleh..sikit2 bolehla kate cikgu atau hok lebih kurang jawabnya...rupanya ade la sorang laki..pertengahan umorlah jugak kate cikgu...pangkat pakcik jugalah..pakcik tu pon berialah bercerita yang dia ni anak murid sipolan 2 dengan bangganya..pot petlah kate cikgu..pastu ditanya pulalah ke cikgu..aok ni siapa blajar ngan siapa...lebih kurang begitulah...ohh inilah guru pada guru yang aok kabo tadi...sayalah yang membawa sendeng ni ke pahang sampai ke tioman...tak terkate apelahsi pakcik tu kn...macam baru terbuka citer...terhijab ..cam kemaluan besar..saiz sebenar tu sy tak tahulah kemaluan tu..bercampur terkebodohan tak sengaja...cikgu pon balik...apa moral di sini...apa ada pada baju kalau murid tak kenal asal usul...bukan haji hamid..yang dekat ni pon tak kenal...mohon sapa yang ada anak murid..jgn jadicam ni...saya bukan bangga sbg anak malah malu...ilmu saya sekangkang kuman...tapi jgn jadi cam ni...Assalamualaikum wbt..pokde

Tuesday, December 30, 2014

TAKZIAH PANTAI TIMUR

Salam Takziah

Disember 2014 mungkin adalah hujung tahun yang paling diingati oleh sebahagian besar penduduk pantai timur Semenanjung Malaysia. Mereka diuji dengan musibah banjir besar yang mengorbankan harta benda, kenderaan, kediaman, ternakan, tanaman, malah turut mengorbankan nyawa. Takziah diucapkan kepada semua mangsa. Berdoalah kita kepada Yang Maha Esa agar mengurniakan pertolongan dan kekuatan kepada mereka bagi menghadapi ujian yang berat ini. Semoga berkat kesabaran mereka itu bakal menjadi bekal buat mereka di belakang hari. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar..~

Tuesday, December 9, 2014

PENDEKAR BUJANG LAPOK

Pendekar Mustar dan Pendekar Bujang Lapok
Pendekar Bujang Lapok. Itulah nama sebuah filem komedi klasik yang pernah ditonton oleh hampir semua rakyat Malaysia tanpa mengira lapisan peringkat umur. Ia dibintangi oleh Seniman Agung Tan Sri Dr. P. Ramlee, Seniman S. Shamsuddin, Seniman Aziz Satar dan Seniman Wak Mustarjo. Filem ini penuh dengan unsur jenaka yang menggeletek perasaan. Elemen kemelayuannya sangat kuat dan turut mengandungi unsur-unsur sindiran dan teguran.

Dari kacamata seorang pengamal silat, saya berpendapat bahawa filem ini sangat dekat dengan suasana sebenar di gelanggang. Saya sangat tertarik dengan cara Allahyarham melukiskan hubungan antara pelajar dengan guru. Ada masanya guru tua itu tersalah dengar dek kerana daya pendengarannya kian pudar dimamah usia. Perbualan mesra tapi penuh adab sopan itu juga memang benar-benar terjadi di dunia sebenar. Keluarga guru itu sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Bermalam di rumah guru juga bukanlah perkara yang asing. Di sebelah pagi, Ramli, Sudin, dan Ajis membantu Pendekar Mustar mengerjakan tugas-tugas harian. Begitu jugalah yang dikisahkan kepada kami oleh Aki Jamal, tentang kisah beliau mengikut Haji Hamid mengerjakan kebun, menjala ikan, berburu dan sebagainya.

Dalam filem ini dilakonkan babak mereka belajar silat di halaman rumah, seperti mana juga cara orang Melayu dahulu belajar. Peristiwa lucu seperti seluar terkoyak, tersalah salin nota, salah faham tentang istilah kuda-kuda, dimarahi guru, ini benar-benar mengusik perasaan. Ini adalah realiti yang memang berlaku di gelanggang persilatan. Lucu, tetapi benar.

Dalam filem ini juga P. Ramlee menyindir kita tentang amalan-amalan salah seperti bertapa di kuburan dan berjampi mentera. Turut digambarkan, pesilat bukan sahaja perlu mahir berpencak, malah juga perlu menguasai ilmu pelajaran. Atas sebab itulah Pendekar Mustar menyuruh mereka bertiga bersekolah dan belajar membaca. Dalam suatu babak, digambarkan bagaimana kebijaksanaan Sudin dan Ajis menewaskan sembilan orang samseng dengan menggunakan akal adalah lebih berjaya berbanding Ramli yang menggunakan kudrat semata-mata. Walaupun Ramli dilihat lebih gagah, namun kejayaan Sudin dan Ajis ternyata lebih lumayan. Selain itu banyak lagi pengajaran yang boleh kita perolehi dari filem ini.

Filem Pendekar Bujang Lapok adalah suatu contoh filem komedi bertemakan silat Melayu yang cukup baik. Sememangnya filem ini kurang menekankan aksi silat kerana lebih menumpu kepada aspek komedi. Namun tidak keterlaluan sekiranya saya katakan bawa filem ini adalah satu-satunya filem komedi bertemakan silat Melayu yang tidak menghina silat Melayu. Kebanyakan drama komedi silat hari ini hanya menggayakan silat sebagai lawak bodoh. Aksi 'silat' yang dilakukan lebih condong ke arah gerakan-gerakan badut dari silat yang sebenar. Dari satu segi mungkin ia kelihatan lucu tapi dari segi lain ianya hanya menjatuhkan air muka silat Melayu. Hingga ke satu tahap, apabila terdengar saja bunyi serunai silat dalam drama komedi, sudah mula terlintas di fikiran, "Ah apa pula lah lawak bodohnya ini". Anak-anak muda menjauhi silat kerana bimbang ditertawakan orang. Tentu saja reaksi begini akan lahir apabila saban hari silat dilakonkan sebagai gerakan-gerakan badut.

Tujuan saya menuliskan artikel ini bukanlah untuk mendewa-dewakan filem lama ini tetapi untuk mengajak kita memikirkan tentang survival silat di zaman ini. Di zaman ini, filem begitu memainkan peranan besar dalam mempengaruhi masyarakat. Maka seharusnyalah silat dimartabatkan semula melalui filem dan kaca televisyen. Kita lihat bagaimana suatu masa dulu filem 'The Karate Kids' menaikkan nama Karate, filem 'Drunken Master' mengangkat nama 'Kung Fu', dan filem 'Ong Bak' memasyhurkan nama 'Muay Thai'. Peminat beladiri silat sangat merindukan Keris Hitam Bersepuh Emas, Pendekar Kundur, dan Loceng Maut. Jadi mengapa tidak orang kita menaikkan ilmu beladiri bangsa Melayu ini dengan filem silat. Kalau pun tidak ada filem baru yang boleh mengangkat imej silat, sekurang-kurangnya tak usahlah silat direndah-rendahkan tarafnya hingga menjadi bahan ketawa saja.

Silat Melayu ini begitu agung. Dengan ilmu inilah pahlawan dahulu mempertaruhnya nyawa mereka demi berjuang mempertahankan bumi Melayu ini dari dijajah. Ini ilmu Datuk Hang Tuah, ini ilmu pakaian Hang Jebat, ini ilmu Pahlawan Mat Kilau, ini ilmu pejuang Dato' Bahaman, ini ilmu perang Panglima Salleh, ini ilmu hulubalang Tok Janggut, ini ilmu senjata Dato' Sagor, ini perisai Dato' Maharaja Lela, ini ilmu Pahlawan Melayu! Jangan ilmu ini direndah-rendahkan. Kalau bukan Melayu itu yang meletakkan hak mereka betul pada tempatnya, maka siapakah lagi?

Wednesday, November 5, 2014

HAJI HAMID DALAM KENANGAN

Haji Abdul Hamid Hamzah
Saya bertemu dengan ramai orang di dalam dunia persilatan ini dan saya berkenalan ramai kawan dalam perguruan Sendeng ini. Melangkau batasan negeri. Berbincang tentang manfaat mempelajari ilmu persilatan, ia adalah sangat banyak. Tidak mampu untuk dijelaskan di sini satu persatu. Saya membayangkan entah bagaimanalah diri saya kalau Allah S.W.T tidak mempertemukan saya dengan perguruan ini. Entah bagaimanalah kita semua jika Allah S.W.T tidak memberikan kekuatan kepada insan yang bernama Haji Abdul Hamid ini untuk berjuang mendidik anak bangsa Melayu ini. Sungguh besar jasa Allahyarham. Sungguh pun beliau sudah tiada lagi bersama kita namun hasil perjuangannya masih dapat kita rasakan hari ini.


Marilah sama-samalah kita doakan agar ruh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.. Al-Fatihah..~

Haji Hamid dalam kenangan..~

Monday, November 3, 2014

BERSILAT DALAM GUA

Menggerakkan persatuan silat menemukan kita dengan pelbagai ragam manusia. Pelbagai peristiwa, pelbagai pengalaman. Baru2 ini kami ada post gambar bersilat di depan gua. Secara tak langsung teringat kisah seorang lelaki yang bercerita tentang orang belajar bersilat di gua. Saya tak mahu dedahkan identitinya. Cukuplah kisahnya sebagai pengajaran.

Aksi di depan gua

Lelaki ini memperlekehkan orang yang belajar silat di sekolah, dewan dan balairaya. Katanya silat mesti belajar di gua. Tengok orang zaman dulu belajar di gua. Kena bertapa sampai Hang Tuah dan Hang Jebat sendiri datang untuk ajar bersilat. Katanya dia sendiri ada mendapat keris dari gua, ditarik dari perut bumi. Keris ditarik oleh seorang bomoh yang datang dari Medan. Umur kerisnya 4000 tahun, berasal dari Sumatera. Keris Istana. Katanya juga, ada beberapa orang guru silat datang belajar dengannya di gua dan macam-macam lagi kisahnya. Hebat sungguh! Sampai tak tercapai dek akal kita yang biasa-biasa ini.

Pada mulanya kami rasa meluat sebab kata-kata meninggi yang keluar dari mulutnya, tapi sudahnya kami hampir- hampir tidak dapat menahan ketawa. Kami tahu sebenarnya kesemua ceritanya itu bohong belaka. Satu pun tidak boleh dipakai. Kehebatannya mengalahkan Hikayat Merong Mahawangsa. Untuk kami terpangaruh, itu jauh sekali.. Tapi cuba bayangkan kalau seorang budak muda yang masih mentah dan sedang bersemangat hendak menuntut ilmu silat, nasibnya kurang baik dan bertemu dengan orang begini, entah apalah jadinya. Sebenarnya perkara beginilah yang merosakkan imej silat Melayu. Ibubapa sendiri pun rasa bimbang nak menghantar anak belajar silat.

Kalau kita nak belajar ilmu silat, perkara pertama dan yang paling penting ialah kita carilah guru yang baik. Guru yang baik ilmunya. Guru yang baik tingkah lakunya, dan guru yang baik kefahaman agamanya. Itu yang paling utama. Kemudian kita bergurulah darinya dengan cara yang sudah diajarkan oleh agama kita. Soal tempat tak penting. Ada orang belajar di rumah, ada orang belajar di bangsal, ada orang belajar di sekolah, ada orang belajar di masjid, malah di universiti pun ada.

Soal Hang Tuah belajar di gua di Gunung Ledang, itu adalah kerana gurunya tinggal di sana. Gurunya tinggal di sana kerana dia orang bertapa. Zaman itu zaman orang bertapa. Tapi harus diingat, Hang Tuah sendiri tidak belajar ilmu pertapaan. Beliau hanya belajar ilmu hulubalang sahaja. Gurunya pernah menawarkan ilmu pertapaan, namun Hang Tuah menolak tawaran gurunya itu dengan alasan ilmu itu tak tertanggung di atas kepalanya. Itu adalah bahasa halus untuk menyatakan penolakan. Hang Tuah belajar di gua kerana ada guru. kalau tak ada guru nak belajar dari siapa? Dari jin?? Kalau macam tu tak payah bersilat pun tak apa..

Jadi buat tuan-tuan yang belajar silat di sekolah, universiti, gelanggang simen, gelanggang mozek, jangan mudah merasa rendah diri bila diperlekehkan orang yang tidak faham landasan ilmu. Memang belajar silat di zaman ini adalah cara yang lebih moden tapi apa yang penting ialah ilmu yang kita perolehi itu benar, berkesan, boleh digunapakai dan paling penting tidak membuatkan kita terpesong dari landasan agama. Barulah kita boleh selamat dunia dan akhirat..~

Monday, October 27, 2014

Sendeng Meniti Zaman

KE ARAH KEGEMILANGAN


Membuka kembali lembaran lama..
Menyingkap kisah membongkar cerita..
Sejarah sebuah perguruan gemilang..
Sejarah Sendeng nan terbilang..

Banyak sudah pendekar ternama..
Haji Hamid antara lagenda..
Keringat dan kudrat seorang pahlawan..
Ia masyhur tak ditelan zaman..


Berpuluh tahun ia mencurah bakti..
Demi membela ibu pertiwi..
Usah dikira jauhnya perjalanan..
Lewat sudah negeri pahlawan..
Johor Melaka Pahang dan Negeri Sembilan,

Guru lama meneruskan perjuangan..
Yang baru menuntut warisan..
Semangat itu jangan pernah hilang..
Tali saudara jangan pernah renggang..

Bersatu kita teguh..
Bercerai kita roboh..
Ibarat telur sepeti,
Pecah satu pecah semuanya

Kita peliharakan warisan ini bersama..
Jangan ingkar pada guru tua..
Biar kita berlainan persatuan..
Betul jalan, betullah haluan..

Ibarat labu menjalar ke hulu..
Ibarat kundur menjalar ke hilir..
Pangkalnya sama dipupuk..
Pucuknya sama digetis..
Buahnya sama ditarik..

Ke bukit sama didaki..
Ke lurah sama dituruni..
Ke laut sama direnangi...~

Friday, October 24, 2014

FUNGSI PENGAPIT RAJA SEHARI

Bolehkah ini dibawa renungan?

Masa saya nak berkahwin dengan isteri saya dulu, Aki telah memberi beberapa petua bila nak masuk rumah, lafaz akad nikah dan petua-petua nak masuk kampung orang.

" Yelah, nak mengambil anak dara orang" kata Aki
" Mana tau kalau ada orang yang tak puas hati dan nak memalukan engkau" tambah beliau.

Isteri saya berbangsa melayu berketurunan dari selatan Siam. Ikut salasilah, dari Raja Ligor kata abang beliau yang memegang salasilah. Kampung beliau pada masa tu agak terpencil dan rata-rata penduduk di situ bertutur dalam bahasa siam pasar yang diselang-selikan bahasa melayu kedah pelet siam yang sekow kopi kedah ha ha. Sekarang hanya orang-orang tua sahaja yang bertutur begitu. Melalut dah!

Bersilat depan Pengantin. (Gambar Hiasan)

Saya yang kehairanan bertanya:
" Keluarga dia ke yang nak buat begitu?"
" Ape bodoh engkau ni, bodoh jugak la keluarga dia kalau buat begitu!. Takkan dah terima engkau lepas tu nak memalukan engkau dan keluarga dia depan orang ramai Jawab Aki yang mula bengang dengan kejahilan saya.

" Ni..., mana tau ada orang yang tak puas hati dengan keluarga dia atau orang nakkan bakal bini engkau tu, tapi tak dapat. Masa nilah paling sesuai nak balas dendam." jelas Aki

"Oooo..," saya mengangguk kepala baru faham.

Jadi dipendekkan cerita Pakcik saudara saya Abdul Rahman bin Haji Idris.- belah mak ( Haji Idris jalan Atas Banggol, kota Bharu, Kelantan. Arwah Tok pernah mengajar mengaji quran kepada anak sultan Kelantan, masa dulu.) menceritakan perkara yang sama pada saya dan saya maklumkan kepada beliau yang abah dah suruh saya bersedia.

Namun begitu mereka berbincang dan bersepakat untuk menjadi pengapit saya pada malam besar saya tu. Dapatlah saya dua pengapit yang power-power ha ha. Saya diijab kabulkan dekat pukul 11.30 malam pada hari itu. Pasal Tok kadi nak tengok bola piala malaysia final:- Pahang lawan Kedah dulu.., ha ha itu bahagian lawak pulak

Alhamdullillah dengan sekali lafaz. Perkara yang paling mendebarkan itu selesai dengan begitu mudah. Termasuklah membaca taklik dalam tulisan jawi.

Banyak fungsi pengapit nih. meredakan debaran si pengantin.2. membaca atau melihat perubahan perlakuan pengantin takut-takut ada orang nak sudi. Takut pengantin naik takut, tak boleh jalan. hilang keyakinan ( gugup ) dan jadi gagap. Kalau ada orang menyerang, pengapitlah pelindung pengantin.

Jadi belajarlah sikit-sikit ayat pelindung dan petua-petua orang tua-tua. Pandai serta serba sedikit adat-adat melayu supaya taklah Sipengantin dibuat orang suka-suka hati dan sipengapitlah yang paling kuat gelak: Bodoh punya cerita!

Jadi.., kerja pengapit bukan sekadar mengipas pengantin tau.

Admin.
p.s - Malam tu Pahang menang lawan kedah 1- 0, Gol minit ke 7 masa pertama. haha

Friday, September 26, 2014

PERIHAL KERIS TAJUNG DI ZAMAN MODEN


Keris Tajung

Setelah sekian lama mengidam, mencari memang ada, tak susah, tapi kalau yang berkenan harga diluar jangkawan, harga mampu milik memang tak berkenaan. Kira cerewetlah tu. Akhir dapat juga daripada Tuan Tuah Melaka. setelah terlepas keris tajung beliau jatuh ke tangan orang lain. Tuan Tuah memberitahu saya selepas agaknya 2 - 3 minggu, ada keris satu lagi. Sekali tengok teruslah berkenan dan membelinya. walaupun mampu milik masih ribulah harganya.

Pertama sekali bila dah dpt senyum lekatlah kat bibir 2 3 hari. dan saya bawalah ke sekolah untuk menunjukkan kepada rakan senior yang juga katanya peminat keris..,

Tapi jawapan beliau amat memeranjatkan saya:
" Keris Jawa ni aku tak minat sangat, aku minat keris melayu jer"
" Cikgu, cikgu kata minat keris dan kumpul keris..tak akan cikgu tak tahu.., keris melayu?, Ini keris melayu cikgu"
mukanya dah tersipu-sipu malu
" Tak la macam keris jawa je, "
Balas saya " Cikgu ini keris melayu, tajung nama dia, berasal dari kerajaan melayu Patani. Cikgu kumpul keris pun tak tau? cikgu kumpul keris apa?
saya pun belah.., panas hati.
Keris Tajung

Beberapa hari kemudian, ada kawan telefon ngajak mengeteh dalam pada tu ada kawan dia (kawan atas kawan) nak tengok tajung. Jadi kira sembang kerislah.., saya pun bawa bersama 7 lapan bilah yang saya ada.Tak banyak pun.

Towkey kedai seorang makcik tua terkejut dan terus bertanya itu dan ini sambil tu minta kebenaran nak tengok.Pergh..! cara dia pegang tengok dan cabut pun dah tahu dia ni tahu serba sedikit tentang keris..,

Tiba-tiba satu brother ni pun berhenti.., umur muda sikit dari saya. Sambil mengambil Tajung kenal pun tidak, mintak izin pun tidak.

" Ha..., ini keris majapahit nih. Ini muncung dia," ini...bla,bla ,bla panjanglah dia bercerita.
Muka saya, makcik tu, kawan-kawan saya semua jadi kelat. Dah lama agak merapu dia tu, saya pun..,terus potong
" Ini keris melayu, keris majapahit lain. Kalau tak tahu tanya dulu."
Agaknya dah termalu, beliau terus meletakkan keris dan berlalu pergi.
Kawan saya berkata
" Kalau diam kan lebih baik, Ini dah nampak sangat ke bodohnya"
Saya pun bertanya kat makcik tu..
" macam mana boleh tahu pasal keris ni?"
" Arwah ayah saya dulu banyak simpan keris, sebab itu tahu"
" Ada lagi tak? tanya saya
" Entah, tak tau siapa yang mengambilnya" jawab beliau...
Aisey melepas

Lepas ni malas nak bawa keluar Tajung, takut jumpa lagi 'pakar-pakar' keris yang menyakitkan hati.

Dalam pada itu Aki pernah memberitahu, ada sebilah keris kat sini yang sangat berbisa. Kalau nak main keris semua lawannya akan dilukainya. Aki luka, Arwah Pakcik Rosli kena, Arwah Awang kena, meleleh-leleh darah. Aki cakap keris dah makan orang dan dah bawak berperang. Empunya keris kata pinjam boleh nak membeli tak boleh.., lupa dah siapa yang menyimpannya
sekian.

Wednesday, September 17, 2014

Adab Meminta & Berguru

Assalamualaikum kepada semua pembaca ruangan ini,

Alhamdulillah posting saya tempoh hari mengundang beberapa 'feedback' yang boleh kita fikir-fikirkan bersama. Satu tentang ada guru yang melarang anak buahnya berjumpa Aki. Tak apa itu cerita lama. Kita tak ambil port pun, tapi siapa yang rugi....., kedua ada pulak cerita tentang Aki yang dikatakan kedekut ilmu. kepada orang-orang macam ni, saya sarankan cerminlah muka anda kat air longkang yang bewarna gelap tu. begitulah hitam dan busuknya hati anda.

Pertama, saya ingin tegur cara anda meminta ilmu tu, kadang-kadang kita terlupa, cara pembawakan kita itu akan mencerminkan niat kita sebenarnya, ada riak dan egonya tapi kita tak perasan. Namun Aki paling cepat membaca orang. Dia layan jer lepas tu siapa yang kena tadah curahan tak puas hati dia....sayalah.

Kedua, nak mintak tunjuk itu, tunjuk ini, tapi bila Aki suruh bersilat depan dia, pakat tak berani, macam mana dia nak beri. kalau bersilat pun banyak cacat celanya. Maksudnya hak pergerakan basic pun hancus. Buat apa dia nak beri.

Ketiga, masa tak kena, datang pada ketika dia buat kerja, masa dia tengah buat tekpi, masa dia tengah buat kerambit, masa tengah buat pedang. Kalau dia melayan anda, kerja dia tak siap. Bila kerja tak siap fulus pun tak masuk. Dia pun mana ada mood.

Keempat. Mintak tunjuk, tapi sibuk merakam, bukan nak bersilat tapi sibuk nak merakam. Itu lagi dia marah.

Kelima, baru datang sekali dua...,dah mintak itu, mintak ini. empunya diri pun Aki tak berapa kenal lagi. Ingat lagi Aki cakap " Apa ilmu silat ingat mudah ke nak beri."

Saranan saya

Datanglah pada ketika dia mengajar, kemudian nyatakan hasrat, ikut kelas dia, biar dia tengok anda bersilat. Lepas tu terpulang pada dia nak beri atau tidak.

Jaga tingkahlaku rendahkan diri, turunkan ego, susun kata-kata elok-elok. kerana nak minta mengajar ni bukan sama macam nak minta barang. Tapi jangan pula sampai mengampu

Jangan lupa adat dan adab antara guru dan murid. Ramai yang lupa bahagian tu.

Jangan mintak perkara yang memang dia tak akan beri. Contoh ilmu payung senandung, ilmu kebal.

Paling penting hak anda nak meminta, Hak dia nak memberi, Jadi kalau tak dapat jangan berkecil hati sambil mengata itu dan ini.

Saya masih teringat rakan saya, anak murid Aki, Jalal namanya, rumah mak dia seberang jalan Sek Men Teknik Tengku Ampuan Afzan, Bentong. Bersilatnya cantik, kemaslah orangnya sembahyang pun tak pernah tinggal, memang kaki masjid. 4 kali ke Sungai Mati, nak belajar dengan Allahyarham Haji Hamid, Arwah tak mengajar sikit pun. Sampai saya pun kehairanan. Aki cakap ada la tu benda yang tak kena. Masa tu pakai naik bas mana ada highway. Tapi si Jalal tak kata apa pun, cuma dia cakap tak ada rezeki.

Buat renungan bersama. nak belajar biar belajar dari bawah.belajarlah dengan ikhlas dan bukan untuk nakkan sesuatu.Buatlah resmi padi, makin berisi makin tunduk, tapi sekarang banyak pakai resmi lalang.

Monday, September 15, 2014

Dulu dan Sekarang

Bila ada sahabat menyampai cerita ada anak murid dah dua tahun dek ajar gurunya menyorong pelebat aje. Teringat saya akan perbualan saya dengan Aki dua tahun lalu. Aik dua juga haha.

Apabila saya melihat Aki mengajar budak-budak baru ni, dia langkah silibus cepat dan tidaklah sekeras masa dia muda-muda. masa dulu dia akan perfectkan setiap bab sebelum masuk bab lain dan sangat tegas dalam gelanggang. Saya masih terbawa akan cara lama dia. lalu saya bertanya Aki kenapa beliau terlalu berlembut dengan budak sekarang ni? Tau apa dia jawab?

" Budak dulu bukan macam budak sekarang, Budak sekarang sakit sikit dah tak datang! kalau aku ajar keras karang berapa orang yang akan tinggal nanti. Budak sekarang dia cepat bosan semua benda nak cepat, Jadi dalam belajar kita ulang dan betulkan sikit-sikit" Budak sekarang sakit sikit tak datang, hujan sikit tak datang, deman sikit tak datang. Ada banyak bende lain yang di lagi suka buat selain bersilat."

Walau bagaimana pun dalam keadaan budak-budak sekarang ni Aki tak pelokek macam dulu. kalau budak-budak tu boleh bawak dia bagi aje. Bukan dari segi amalan batin tapi buah pukul dan permainan senjata. jadi banyak kemahiran budak-budak ni orang lama kat sini tengok dan tabik. walaupun usia mereka masih muda.

Cerita menyorong pelebat ni. Jiran saya adalah murid pengakhir Aki ketika dia masih muda lagi sebelum dia berhenti mengajar selepas anak sulung dia yang nakal tu buat hal di Bandar Bentong. Jiran saya ni menyorong pelebat dan khatam pertama setelah lima tahun. Lima tahun baru khatam pertama!! tapi kalau tak berlatih lupa juga. Tapi kalau dua tahun main sorong pelebat jer..,mungkin kena cepatkan sikit kalau tidak budak akan lari sebagaimana cerita Aki tadi. Kalau tak buat gitu mungkin jadi macam cerita Pendekar Bujang Lapuk.belajar setakat huruf jin aje

Teringat Rangkap lagu seniman negara Dato' S.M Salim
" Dulu lain, sekarang Lain
Dulu membujang, sekarang dah kahwin"


Saya minat lagu tu..,

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...