Sunday, September 1, 2013

Haji Ismail bin Haji Hamzah

Haji Ismail bin Haji Hamzah


Haji Ismail bin Haji Hamzah ialah adik kepada Haji Abdul Hamid Hamzah. Beliau adalah anak ke-9 daripada 13 orang adik beradik. Sebagai adik kepada Haji Abdul Hamid dan dibesarkan di kalangan keluarga pendekar, Haji Ismail turut menerima pendidikan Seni Silat Sendeng Sejak awal lagi. semasa berusia lima tahun beliau telah mula mempelajari selok belok persilatan dari nendanya Haji Hassan. Setelah berguru dengan nindanya itu, beliau telah mendalami ilmu persilatan dengan kekandanya ketika berusia dua puluh tahun.

Setelah pemergian Haji Abdul Hamid Hamzah, Haji Ismail telah dilantik menjadi Guru Utama. Kepimpinan beliau telah menyaksikan Seni Silat Sendeng Muar didaftarkan secara rasmi dan dikenali sebagai Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia (PSSSM). Bertujuan memperkembangkan Seni Silat Sendeng secara sistematik dan dapat bergerak berlandaskan undang-undang negara, di samping berusaha menyatupadukan ahli-ahli di bawah satu naungan, suatu perjumpaan bagi menubuhkan sebuah pertubuhan telah diadakan pada 24 Disember 1990, bertempat di Hotel Kuala Lumpur International, Jalan Raja, Muda, Kuala Lumpur. Perjumpaan yang dihadiri seramai 84 orang wakil daripada Johor, Melaka, Pahang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur, telah dirasmikan oleh wakil YB Datuk Abdul Ghani Osman (pada ketika itu Timbalan Menteri Kewangan) iaitu Tuan Haji Abdullah Mohd Ali, setiausaha sulit kanan beliau. Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan ketika itu, Encik Abdul Rahman Hassan.






Haji Ismail telah dilantik sebagai Presiden Jawatankuasa Penaja bagi menguruskan penubuhan Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia. Atas usaha Jawatankuasa Penaja di bawah kepimpinan Haji Ismail dan sokongan ahli-ahli, Seni Silat Sendeng telah berjaya didaftarkan secara rasmi pada 11 julai 1992. Setelah tertubuh secara rasmi Seni Silat Sendeng terus berkembang maju dan pada tahun 1995 telah dijemput untuk turut serta sebagai salah satu disiplin Seni Beladiri yang bergerak dibawah program Rakan Muda -Rakan Wajadiri anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Ini membolehkan Seni Silat Sendeng bergerak dengan lebih cergas dan meluas sehingga bertapak di Malaysia Timur. Setelah hampir 10 tahun beliau memikul amanah menyebarkan Seni Silat Sendeng ini sehingga tersebar ke beberapa buah negeri lagi iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kelantan, Labuan dan Sabah, Haji Ismail telah dipanggil kembali ke Rahmatullah pada 22 hb Mac 2002.







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...