Monday, January 20, 2014

Asal Usul Silat Sendeng

Nama Silat Sendeng asalnya diambil dari posisi berdiri perguruan ini yang senget atau menyendeng. Kedudukan ini adalah kedudukan yang stabil dan kukuh dalam menanti dan menyerang kerana semua iaitu sasaran yang berbahaya pada tubuh menjadi terlindung.

Ada juga yang mengatakan bahawa nama Sendeng berasal dari perkataan 'Senggam' dan 'Dinding' yang membawa maksud tempat yang kukuh untuk berlindung, namun sebenarnya itu hanyalah olahan pendapat yang terkemudian. Tujuannya untuk menjelaskan lagi pengertian 'Sendeng' dari segi maknanya.

Permainan Sendeng dikatakan berasal dari pelaut-pelaut keturunan Bugis yang telah bermastautin di Tanah Melayu. Pelaut-pelaut ini telah mendalami dan menghalusi ilmu pertempuran di atas kapal. Tujuannya adalah untuk pertahanan diri dan peperangan. Di laut, mereka terdedah dengan segala jenis bahaya sama ada dalam bentuk bencana alam semula jadi dan bencana manusia. Tanpa perlindungan dari mana-mana pihak lain, mereka terbina sebagai manusia yang sangat berani dan bijak dalam ilmu peperangan.

Long Mamat ialah nama orang yang bertanggungjawab mengembangkan ilmu ini di Tanah Melayu. Beliau ialah seorang pendekar Sendeng yang terbilang. Di zamannya, pukulan tangannya sungguh digeruni. Kejaguhannya sebagai seorang pendekar Melayu tulen menyebabkan beliau dicabar oleh ramai pendekar. Namun dengann izin Allah Ta'ala, beliau tiada terkalah.

Beliau kemudiannya menurunkan ilmu ini kepada Haji Taman bin Dagang serta Haji Mohd Ariff bin Shamsuddin (Shamsu). Pada tahun 1944, Haji Abdul Hamid pula menuntut dengan nindanya Haji Taman bin Dagang. Dari Haji Taman, Haji Abdul Hamid telah mempelajari Pukul dan Lapis Sendeng. Haji Taman sangat tegas dalam menurunkan ilmu. Setiap satu belebat yang diajar mengambil masa 6 bulan. Waktu itu Haji Taman mengajar Haji Abdul Hamid secara bersendirian.

Ilmu ini kini masih diperturunkan kepada generasi-generasi baru dan sedang diusahakan untuk dikekalkan setulen mungkin bagi mewarisi keampuhannya yang asal.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...