Tokoh Lagenda Seni Silat Sendeng Haji Hamid

Haji Jamaludin Shahdan dan gurunya Haji Hamid Hamzah

M

M

Tuan Haji Jamaluddin Bin Shahdan

Dalam Kenangan

Kursus Pemantapan Sendeng Haji Hamid

Kursus pemantapan sendeng ini diadakan di Kuala Dong, Raub.

Thursday, September 5, 2013

Perisai

Perisai

Dalam Seni Silat Sendeng, Perisai berfungsi sebagai alat pertahanan. Ia diperbuat dari bahan-bahan yang teguh dan ringan. Lazimnya, ia digunakan secara berpasangan dengan pedang. Perisai dalam Silat Sendeng Haji Hamid lazimnya bersaiz kecil dan sederhana saja. Ia adalah bagi memudahkan pergerakan dalam menangkis dan mengatur serangan. DI bahagian belakang perisai terdapat loceng yang akan bergemerincing apabila perisai dimainkan.


Perisai rotan dengan loceng







Keris


Keris Semenanjung

Keris merupakan senjata kebanggaan bangsa Melayu. Ia mempunyai pelbagai saiz dan fungsi. Dalam Seni Silat Sendeng, keris digunakan sebagai senjata bertarung. Selain itu terdapat juga ilmu permainan untuk dipersembahkan di majlis-majlis keramaian.



Permainan keris oleh Pesilat Sendeng Haji Hamid


Permainan keris oleh Pesilat Sendeng Haji Hamid




Tumbuk Lada

Tumbuk Lada Melayu

Ilmu permainan Tumbuk Lada dalam Sendeng diperturunkan oleh Haji Abdullah (Dollah Polong) kepada Haji Hassan Pendekar. Seterusnya ia diperturunkan kepada Haji Abdul Hamid Hamzah dan diwariskan kepada pesilat-pesilat Sendeng terkemudian hingga hari ini. Selain berfungsi sebagai senjata pertarungan, ia juga boleh dimainkan di dalam majlis secara berpasangan untuk menghiburkan hadirin.



Permainan Tumbuk Lada oleh Pesilat Sendeng Haji Hamid




Kerambit

Haji Jamaluddin Shahdan menggayakan permainan kerambit Sendeng


Kerambit adalah merupakan senjata jarak dekat. Ia diperturunkan dari generasi ke generasi dalam Seni Silat Sendeng Haji Hamid. Pelajaran kerambit merangkumi ilmu gelut dan permainan majlis. Walaupun pada asalnya suatu masa dahulu, ia merupakan senjata yang lazim dipakai oleh golongan wanita. Namun pada masa darurat, kerambit turut menjadi kegemaran kaum lelaki. Hal ini disebabkan oleh saiznya yang kecil dan mudah disembunyikan disamping faktor keberkesanannya.






Tekpi

Haji Jamaludin bin Shahdan bermain

Tekpi adalah antara senjata yang diajarkan dalam Silat Sendeng Haji Hamid. ia dikategorikan dalam kategori senjata pendek. Dalam Silat Sendeng Haji Hamid, tekpi boleh dimainkan secara tunggal atau berkembar. Tekpi digunkan untuk menangkis, menyerang, menangkap, dan membantah senjata lain.


Tekpi Melayu lama yang terdapat di Muzium di Melaka


Pedang

Haji Abdul Hamid Hamzah beraksi dengan pedang

Pedang merupakan senjata asli Seni Silat Sendeng. Ia merupakan senjata bersaiz sederhana. Seni pedang termasuk di antara ilmu senjata yang diperturunkan oleh Haji Abdullah (Dollah Polong) kepada Haji Hassan Pendekar seterusnya diwarisi oleh Haji Abdul Hamid Hamzah. Antara nama seni tari dalam permainan pedang Sendeng ialah Seninting Anak Murai, Helang Berlegar, Tikam Balik Junjung, Lebah Mengurap dan Tari Iris. Hingga kini, ilmu permianan pedang masih diperturunkan generasi ke generasi dalam Seni Silat Sendeng. 




Permainan pedang oleh pesilat Sendeng Haji Hamid Negeri Pahang



Monday, September 2, 2013

Engku Kumuddin @ Cikgu Kumuddin

Engku Kumuddin atau juga dikenali dengan panggilan Cikgu Kumuddin berasal dari Kampung Alai, Melaka. Beliau kemudiannya dijemput oleh Penghulu Haji Abdullah (datuk kepada Dato' Abd Ghani Othman, bekas Menteri Besar Johor) untuk mengajar di Serom. Sebelum dibenarkan mengajar, beliau terlebih dahulu telah diuji oleh pak Unggal Khalil. Beliau merupakan salah seorang dari guru kepada Taman Dagang.












Pendekar Putih

Pendekar Putih ialah seorang pendekar yang handal. Beliau berasal dari tanah Acheh, utara Pulau Sumatera. Atas sebab yang tertentu, beliau telah menjadi orang buruan Raja Acheh ketika itu, Beliau seterusnya bertindak melarikan diri ke Serom. Sesampainya di Serom, Pendekar Putih telah meminta bantuan dan perlindungan dari Penghulu Mukim Serom. Penghulu ketika itu ialah Penghulu Haji Abdullah iaitu datuk kepada Dato' Abdul Ghani Othman ( bekas Menteri Besar Johor). Pendekar Putih kemudiannya ditempatkan untuk tinggal di rumah Taman Dagang.

Di rumah Taman Dagang, Pendekar Putih pun mengajarkan ilmu persilatannya kepada Taman Dagang. Ilmu yang diperturunkan itu mempunyai persamaan dengan ilmu yang diajarkan oleh Long Mamat. Antaranya ialah pukulan dan lapis Sendeng. Namun begitu, hubungan antara Pendekar Putih dan Long Mamat itu tidaklah diketahui.

Pendekar Putih kemudiannya berhijrah ke Jambi dan menjadi mashur di sana. Ketika Festival Silat Nusantara diadakan di Johor Bahru pada 1990-an, Haji Ismail Hamzah pernah bertemu dengan Haji Yusof Wilem iaitu salah seorang anak murid Pendekar Putih.

Sunday, September 1, 2013

Haji Abdullah (Dollah Polong)

Haji Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Dollah Polong berasal dari Telok Mas, Melaka. Beliau adalah seorang pendekar dan guru silat yang warak, disegani dan tinggi pengetahuan agamanya. Di jagat persilatan, beliau sangat terkenal dengan kepantasan pukulannya. Adapun gelaran Dollah Polong itu bukanlah kerana beliau membela polong, tetapi kerana kepantasan pukulannya yang tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kasar dek kerana terlalu pantas dan kerasnya. Atas kerana itulah orang menggelarkan beliau membela polong. Cerita yang mengatakan beliau membela polong adalah dongeng semata-mata dan direka oleh orang yang tidak tahu menahu.

Menurut Tuan Haji Jamaludin (Aki Jamal) Haji Abdullah merupakan di antara saki baki tentera Raja Haji Fisabilillah ibni Daeng Chelak (1727-1784). Sesudah kemangkatan Raja Haji, tenteranya membina penempatan dan ilmu peperangannya terus dikekalkan dalam gelanggang silat.

Aliran permainan silat yang diamalkan oleh Haji Abdullah itu diberi nama Kuntau Telok Mas atau juga dikenali sebagai Kuntau Melaka. Beliaulah orang yang bertanggungjawab mengajarkan permainan Kuntau Telok Mas kepada Haji Hassan Pendekar dan juga Dol Ghani (datuk kepada Haji Jamaludin Shahdan) seiring dengan namanya dan pukulannya yang termasyhur itu, kedua anak muridnya itu turut diasuh hingga akhirnya dapat mewarisi kehandalannya itu.

Antara senjata yang dikuasai beliau ialah keris, tembong, tekpi, pedang, tumbuk lada dan pedang perisai.

Haji Ismail bin Haji Hamzah

Haji Ismail bin Haji Hamzah


Haji Ismail bin Haji Hamzah ialah adik kepada Haji Abdul Hamid Hamzah. Beliau adalah anak ke-9 daripada 13 orang adik beradik. Sebagai adik kepada Haji Abdul Hamid dan dibesarkan di kalangan keluarga pendekar, Haji Ismail turut menerima pendidikan Seni Silat Sendeng Sejak awal lagi. semasa berusia lima tahun beliau telah mula mempelajari selok belok persilatan dari nendanya Haji Hassan. Setelah berguru dengan nindanya itu, beliau telah mendalami ilmu persilatan dengan kekandanya ketika berusia dua puluh tahun.

Setelah pemergian Haji Abdul Hamid Hamzah, Haji Ismail telah dilantik menjadi Guru Utama. Kepimpinan beliau telah menyaksikan Seni Silat Sendeng Muar didaftarkan secara rasmi dan dikenali sebagai Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia (PSSSM). Bertujuan memperkembangkan Seni Silat Sendeng secara sistematik dan dapat bergerak berlandaskan undang-undang negara, di samping berusaha menyatupadukan ahli-ahli di bawah satu naungan, suatu perjumpaan bagi menubuhkan sebuah pertubuhan telah diadakan pada 24 Disember 1990, bertempat di Hotel Kuala Lumpur International, Jalan Raja, Muda, Kuala Lumpur. Perjumpaan yang dihadiri seramai 84 orang wakil daripada Johor, Melaka, Pahang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur, telah dirasmikan oleh wakil YB Datuk Abdul Ghani Osman (pada ketika itu Timbalan Menteri Kewangan) iaitu Tuan Haji Abdullah Mohd Ali, setiausaha sulit kanan beliau. Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan ketika itu, Encik Abdul Rahman Hassan.






Haji Ismail telah dilantik sebagai Presiden Jawatankuasa Penaja bagi menguruskan penubuhan Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia. Atas usaha Jawatankuasa Penaja di bawah kepimpinan Haji Ismail dan sokongan ahli-ahli, Seni Silat Sendeng telah berjaya didaftarkan secara rasmi pada 11 julai 1992. Setelah tertubuh secara rasmi Seni Silat Sendeng terus berkembang maju dan pada tahun 1995 telah dijemput untuk turut serta sebagai salah satu disiplin Seni Beladiri yang bergerak dibawah program Rakan Muda -Rakan Wajadiri anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Ini membolehkan Seni Silat Sendeng bergerak dengan lebih cergas dan meluas sehingga bertapak di Malaysia Timur. Setelah hampir 10 tahun beliau memikul amanah menyebarkan Seni Silat Sendeng ini sehingga tersebar ke beberapa buah negeri lagi iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kelantan, Labuan dan Sabah, Haji Ismail telah dipanggil kembali ke Rahmatullah pada 22 hb Mac 2002.







Haji Salleh bin Abd Karim (Panglima Salleh @ Kiyai Salleh)


Haji Salleh abd Karim lebih dikenali dengan gelaran Kiyai Salleh atau Panglima Salleh. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1916 di Jorak, Muar. Beliau mempunyai darah keturunan Banjar dan merupakan seorang yang sangat warak, berpekerti tinggi dan suka merendah diri. Penampilan beliau sangat sederhana. Beliau memiliki pengetahuan yang sangat meluas dalam agama hasil pengajiannya dengan ramai guru-guru agama yang terkenal ketika itu. Berikutan itu, beliau sangat membenci amalan-amalan khurafat seperti menggunakan tangkal, bertapa di gunung, gua dan sebagainya. Kiyai Salleh adalah orang yang dipertanggungjawabkan mengetuai orang-orang Melayu menentang bintang tiga yang membuat kekacauan di Batu Pahat, Johor. Selain mendalami ilmu agama beliau juga turut berguru ilmu kepahlawanan dengan ramai pendekar silat. Antara guru beliau yang diketahui ialah Kiyai Mustahir, Pagoh dan Kiyai Arshad al Banjari. Dari kedua-dua guru ini beliau telah menuntut ilmu agama dan amalan perang. Beliau mula memimpin orang Melayu Batu Pahat pada usia 29 tahun iaitu sekitar tahun 1945

Bintang Tiga

Pada zaman pemerintahan Jepun, komunis menerusi Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) masih dianggap sebagai antara pejuang penentang penjajah Jepun di Tanah Melayu malah mereka turut mendapat sokongan rakyat tempatan.

Berikutan itu, Haji Salleh dipercayai menerima pelawaan PKM supaya menyertai pihak itu dan beliau diberi kepercayaan untuk mengutip cukai daripada penduduk kampung dan peniaga. Salleh juga turut diberi sepucuk pistol oleh PKM.

Bagaimanapun, Salleh tidak menyerahkan semua pungutan cukai itu kepada PKM sebaliknya beliau bertindak seumpama 'Robin Hood' apabila mengagihkan pungutan itu kepada penduduk susah dan miskin.

Tindakan itu menyebabkan PKM berang dan pada suatu malam, segerombolan komunis bertindak mengepung rumah Salleh. Bagaimanapun, ketika menyerbu masuk, mereka gagal menemui kelibat Salleh walaupun dia memang berada di dalam rumah berkenaan.

Mereka mengulangi serbuan selama tujuh malam berturut-turut tetapi masih gagal. Berang dengan kelicikan Salleh menyebabkan komunis memasukkan pemuda itu dalam senarai 'bertanam ubi' iaitu istilah bagi mereka yang akan dihukum bunuh oleh komunis. Ketika itu PKM mula menunjukkan 'wajah' sebenar mereka. Berita kehilangan penduduk Mukim Empat secara tiba-tiba tanpa dapat dikesan semakin menjadi-jadi. Selepas seorang, seorang lagi penduduk dilaporkan hilang secara misteri.

Suatu ketika, kekejaman komunis begitu berleluasa. Ramai orang kampung diculik dan dilarikan di dalam hutan. Ada di antara mereka yang diseksa dan dibunuh dengan kejam. Ibu bapa hanya mampu melihat sahaja anak-anak diheret ke dalam hutan. Tidak kurang juga anak-anak yang menjadi yatim dan tidak lagi dapat bertemu dengan orang tuanya hingga ke hari ini. Ketika itu orang Melayu seolah-olah tiada pembela. Setiap hari mereka hidup dalam kebimbangan dan ketakutan. Pada sebelah malam pula, ramai yang tidak dapat melelapkan mata kerana bimbang anggota komunis akan datang ke rumah. Ramai yang sudah tidak berani lagi untuk ke masjid berikutan dengan tindakan komunis menyerang dan membakar masjid dan surau-surau. Ketika itulah, Kiyai Salleh dan pasukannya bertindak sebagai pejuang yang bangkit membela anak bangsa yang tertindas di bumi sendiri.


Perjuangan 




Haji Salleh bin Abdul Karim (tengah)


Pada mulanya penduduk kampung bertindak menubuhkan 'Persatuan Muhammadiah' dalam usaha mengekang dan mengatasi ancaman komunis. Persatuan itu kemudiannya disertai oleh Kiyai Salleh. Oleh kerana ketokohan, kehandalan, keberanian dan kelayakannya, maka beliau telah dipilih untuk mengetuai pasukan itu menggantikan pemimpin sebelumnya, Ahmad Ijam yang menarik diri.

Serangan pertama ke atas kubu pengganas komunis di Bukit Simpor dibuat selepas subuh 19 April 1945 yang disertai oleh 38 orang penduduk kampung. Itulah pertama kali penduduk kampung menyaksikan kehebatan dan kehandalan Panglima Salleh. Biarpun cuma bersenjatakan pedang dan parang panjang, mereka telah membuktikan keampuhan semangat pahlawan Melayu nan sejati. Pihak komunis yang pada mulanya begitu berani bertindak sesuka hati mulai menjadi gentar.

Pada tahun 1949, Panglima Salleh besama-sama  dengan salah seorang anak muridnya, Haji Abd Hamid Hamzah telah mengetuai dua pasukan penduduk kampung untuk memburu pasukan komunis dan orang kuat mereka, Mat Indera. Biarpun ada di antara anggota komunis ini ialah orang Melayu, namun bilangan mereka kecil sahaja. Majoriti pengganas komunis ketika itu adalah orang-orang cina, hinggakan peperangan menentang pengganas komunis itu kelihatan seolah-olah peperangan di antara Melayu dan Cina. Selain itu, Panglima Salleh juga mengetuai beberapa serangan lain.

Atas kegagahan dan keberanian, Haji Mohd Salleh diiktiraf oleh Kebawah Duli Sultan Johor Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar yang yang bertitah pada 26hb Disember 1945 bahawa Haji Mohd Salleh adalah Panglima Melayu. Semenjak itulah Haji Mohd Salleh mendapat gelaran Panglima.

Perginya Seorang Pahlawan

Panglima Salleh telah meninggal dunia pada tanggal 21 April 1959 di Hospital Besar Johor Bahru kerana penyakit bengkak paru-paru. Meskipun Kiyai Salleh telah meninggal dunia, kesinambungan perjuangannya telah diteruskan dan disambung oleh pelapis-pelapis terkemudian. Pasukan Kiyai Salleh yang juga dikenali dengan nama tentera Selempang Merah terus berjuang membela nasib orang-orang Melayu terutamanya ketika tragedi 13 Mei 1969. Walaupun kini darah orang-orang Melayu tumpah di bumi bertuah ini telah kering, namun jasa Kiyai Salleh tetap diingati dan disanjung. Al-Fatihah~


Haji Jamaludin bin Shahdan

Haji Jamaluddin bin Shahdan


Haji Jamaludin bin Shahdan merupakan seorang guru Sendeng yang tulen. Beliau juga dikenali dengan panggilan Cikgu Din, Cikgu Jamal, dan Aki Jamal. Beliau dilahirkan pada tanggal 29 Julai 1943.

Pendidikan


Haji Jamaluddin dan Haji Abdul Hamid Hamzah

Haji Jamaludin Shahdan mula mengenali dan mempelajari ilmu silat dari datuknya, Dol Ghani. Dol Ghani adalah rakan seguru dengan Haji Hassan Pendekar, iaitu anak murid kepada Haji Abdullah (Dollah Polong). Dol Ghani mengajarkan kepada Haji Jamaludin ilmu Kuntau Telok Mas selama tiga tahun lamanya. 

Selepas itu, datuknya menyuruh beliau berguru dengan Haji Abdul Hamid Hamzah bagi mempelajari dan melengkapkan ilmu Sendeng. Haji Jamaludin banyak belajar secara rahsia dengan Haji Hamid di dalam rumah. Kasih pada gurunya itu tiada berbelah bagi.

Selepas itu datuknya menyuruh beliau berguru dengan Haji Abdul Hamid Hamzah bagi mempelajari dan melengkapkan ilmu Sendeng. Haji Jamaludin banyak belajar secara rahsia dengan Haji Hamid di dalam rumah. Kasih pada gurunya itu tiada berbelah bagi

Selain itu, Haji Jamaludin juga pernah belajar dan merasa air tangan Hajji Hassan Pendekar. Walaupun ketika itu usia Haji Hassan telah agak lanjut, namun Ketangkasannya seolah tidak dimamah usia. Beliau masih tangkas dan handal.

Haji Jamaludin Shahdan bukanlah sekadar guru silat, beliau mendapat pendidikan di High School Muar ( kini Sekolah Tinggi Muar). Di sana, beliau ditempat sekelas dengan Haji Rahman bin Haji Hamzah iaitu adik kepada Haji Abdul Hamid Hamzah. Mereka pernah berlatih besama.

Setelah menamatkan pelajaran di High School Muar, Haji Jamaludin ditawarkan melanjutkan pelajarannya di Malayan Teachers College Wolverhampton, England. Ketika itu usia beliau baru saja mencecah 18 tahun. Sekembalinya beliau ke tanah air tercinta, beliau telah ditugaskan untuk mengajar di Sekolah Menengah Alor Gajah, Melaka selama 2 tahun. Kemudian beliau ditukarkan ke Sekolah Menengah Tanah Merah, Kelantan pada 1965. Seterusnya pada tahun 1966, beliau ditugaskan pula untuk mengajar di Pahang di mana beliau menetap hingga ke akhir hayatnya.

Guru Silat





Haji Jamaluddin dan anak muridnya


Haji Jamaludin adalah orang yang bertanggungjawab membawa Sendeng ke Negeri Pahang. Beliau pernah mengajar Silat Sendeng di Raub, Kuantan, Pulau Tioman, Bentong, Rimpin, Jengka, dan Kuala Lipis dan beberapa daerah lagi di negeri Pahang. Semasa di Bentong, beliau pernah mengajar Silat Sendeng kepada Kumpulan Pertama Unit Risik Rejimen Gerak Khas Komando. Haji Jamaludin Shahdan pernah dipilih untuk memegang jawatan Presiden bagi Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia pada tahun 1991.




Ketika mengajar di Raub

Pada usianya yang sudah pun menjangkau 70-an, Haji Jamaludin masih lagi aktif mengajar ilmu Sendeng di gelanggang depan rumahnya di Bentong, Pahang. Biarpun di lanjut usianya, beliau tetap teguh mengajarkan Sendeng yang tulen dan asli, sama seperti ilmu yang diajarkan oleh Haji Hamid Hamzah kepadanya. Ia diwariskan kepada generasi baru tanpa diubah-ubah. Beliau menggerakkan Sendeng di bawah nama Persatuan Seni Silat Sendeng Haji Hamid Negeri Pahang.








Haji Mohd Arif Shamsu (Shamsudin)

Haji Mohd Arif Shamsudin merupakan seorang guru Sendeng yang terkenal dengan pukulan 7 Harinya. Pada mulanya beliau berguru ilmu Sendeng dari Long Mamat. Setelah itu, beliau menguji kehandalannya dengan menduga Taman Dagang. Kehandalan Taman Dagang ternyata gagal diatasinya. Namun kekalahannya itu membuka pintu pula bagi beliau untuk berguru dengan Taman Dagang. Di sana, beliau memperhalusi pukulan dan permainan Sendengnya.

Suatu ketika, Haji Mohd Arif pernah mengembara hingga ke Pulau Pinang bagi menguji ilmu pukulan 7 Harinya. Sepanjang perjalanannya beliau tidak bertemu lawan. Tiada yang dapat menandingi kehandalan beliau. Nama pukulan 7 Hari pun menjadi masyhur. Antara yang bersama dalam rombongan tersebut ialah Haji Hassan Pendekar. Suatu hari, tergerak hati Haji Mohd Arif untuk menguji Haji Hassan Pendekar. Mungkin beliau yakin dapat menewaskan Haji Hassan Pendekar setelah pukulan tangannya gagal disaingi sesiapa hingga ke utara tanah air. Namun sangkaannya ternyata meleset. Haji Hassan Pendekar begitu handal dan pantas. Haji Mohd Arif tewas di tangan Haji Hassan pendekar.

Ilmu pukulan 7 Hari tersebut kemudiannya diajarkan kepada Haji Abdul Hamid Hamzah yang ketika itu baru berusia 12 tahun. Seterusnya, pukulan 7 Hari terus diperturunkan dari generasi ke generasi dalam perguruan Silat Sendeng Malaysia. Haji Mohd Arif telah kembali ke rahmatullah pada penghujung 1940-an. Al-Fatihah ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...