Tuesday, August 27, 2013

Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah

Haji Abdul Hamid Hamzah


Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah atau juga dikenali dengan nama Hamid Jah atau Hamid Rimau merupakan pengasan utama perguruan Seni Silat Sendeng. Beliau merupakan anak ke 3 dari 13 orang adik beradik. Beliau mempelajari dan mewarisi ilmu kependekaran dari kedua orang nindanya yang juga sangat terbilang dalam jagat persilatan iaitu Haji Hassan bin Haji Mahat dan juga Haji Taman Dagang.

Pendidikan

Beliau mula mendapat pendidikan awal ilmu persilatan pada tahun 1932. Ketika itu usia beliau baru saja mencecah 5 tahun. Gurunya ialah ninda beliau sendiri iaitu Haji Hassan Mahat iaitu seorang guru yang ternama dalam permainan asli Kuntau Melaka atau Kuntau Telok Mas. Beliau berguru dengan haji Hassan Mahat selama 10 tahun iaitu sehingga Haji Hassan berpuas hari dan mendapati beliau telah benar-benar mahir dan masak. Pembelajarannya tidak hanya merangkumi ilmu pertempuran tangan kosong, bahkan juga beliau turut diajar kaedah bermain senjata. Antara senjata yang dipelajari dari nindanya ini ialah keris, pedang, tekpi, tumbuk lada, tembong, tuas, tongkat dan kerambit. Selain itu beliau turut diajar permainan belebat, buah tangkap, kuntau dan banyak lagi permainan seni, tari dan pukulan.

Setelah itu Haji Hamid berguru pula dengan nindanya di sebelah ibu iaitu Taman Dagang yang begitu dikenali gagah dan perkasa. Beliau diajarkan ilmu sendeng yang asli merangkumi berbagai-bagai permainan antaranya ialah ilmu pukul dan lapis sendeng. Keperitan belajar dengan Taman Dagang begitu terasa kerana nindanya itu sungguh tegas dalam menyampaikan pelajaran. Setiap belebat diajar dan diasuh selama 6 bulan. Namun semua itu tidak sedikit pun melemahkan minat beliau, bahkan segalanya ditempuhi dengan tabah tanpa sebarang rungutan. Ketika itu, beliau belajar dari Taman Dagang secara bersendirian. Berkat ketabahan dan kegigihan, beliau akhirnya berjaya menguasai ilmu sendeng secara menyeluruh.

Seterusnya, beliau mendalami pula ilmu Pukulan 7 hari dari Haji Mohd Arif Shamsu (Shamsudin). Haji Hamid kemudiannya diuji oleh Haji Mohd Arif Shamsu dengan serangan dari belakang pintu. Kejayaanya mengatasi serangan itu memuaskan hati gurunya dan beliau diiktiraf layak menjadi guru.

Setelah melengkapkan diri dengan ilmu persilatan, beliau menemui pula Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim yang juga dikenali dengan nama Kiyai Salleh atau Panglima Salleh bagi menuntut ilmu agama dan kerohanian. Sebelum diterima menjadi murid, Haji Hamid telah diuji terlebih dahulu dengan disuruh mengerjakan kebun selama 6 bulan. Hanya selepas tempoh 6 bulan tamat, barulah Kiyai Salleh bertanyakan nama Haji Hamid seterusnya diterima belajar, Selama 3 tahun (1946-1949) Haji Abdul Hamid tinggal bersama Panglima Salleh dan berguru ilmu agama dan kebatinan dari beliau. Sebelum dikhatamkan, Haji Abdul Hamid diuji akan pemahaman tauhidnya dengan disuruh beramal di dalam sebuah gua di sebuah bukit di Parit Sulong untuk mendapat ilmu dari harimau jadian. Haji Abdul Hamid pantas memahami maksud gurunya itu dan menolaknya dengan baik. Beliau menyatakan bahawa adalah lebih baik baginya untuk beramal di dalam masjid. Gurunya gembira dengan jawapan itu dan memutuskan bahawa Haji Abdul Hamid telah layak dikhatamkan.

Selain dari guru-guru tersebut, Haji Abdul Hamid juga dikatakan turut berguru dengan;

Kiyai Mustahir, Pagoh.
Panglima Lias, Pagoh.
Haji Mohd Lip Bedu (Ilmu Tauhid)
Haji Abdul Ghani, Jalan Daud, Muar
Dato Mohd Bakar (Kadi Besar, Johor)
Ustaz Sulaiman Sujak
Ustaz Ahmad Tunggal, Parit Sakai, Muar.

Guru Silat

Haji Abdul Hamid mula mengajar dan mengembangkan ilmu persilatan sendeng ini sekitar tahun 1950-an. Ketika itu beliau telah pun 'masak' dalam ilmu kependekaran dan mendapat izin dan tauliah dari guru-gurunya. Beliau mula mengembangkan sendeng di bawah nama 'Silat Sendeng Muar' dan kemudiannya ditukar kepada Seni Silat Sendeng Malaysia.

Perjalanan hidup sebagai guru silat tentu saja tidak mudah. Pelbagai cabaran dan pahit getir terpaksa dilalui. Sudah menjadi asam garam guru silat masa dahulu, tentu saja ada yang mencabar dan menyudi. Namun ia bukan sahaja gagal menjatuhkan beliau, malah namanya kian harum dan disanjung tinggi.

Atas usaha gigih beliau bersama anak-anak muridnya, akhirnya perguruan ini kian tersebar ke seluruh Negara terutamanya Negeri Johor, Negeri Pahang, Negeri Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan lain-lain.

Antara anak murid beliau yang dikenali ialah :
  Haji Ismail bin Haji Saidin @ Tok Sidang
  Haji Jamaludin bin Shahdan @ Cikgu Jamal
  Ahmad Nazari Bin Haji Abdul Hamid @ Cikgu Atan (Anak Haji Hamid)
  Haji Rosmani bin Abd Samad.

Keperibadian Tinggi

Haji Abdul Hamid
Nama Haji Hamid Hamzah begitu terkenal di kalangan masyarakat di zamannya. Meskipun ramai yang mengenali beliau sebagai seorang yang tegas dan digeruni, anak murid beliau yang benar-benar mengenali peribadinya, sangat mengasihi beliau. Menurut cerita Haji Jamaludin Shahdan, Haji Hamid sebenarnya seorang yang penyayang. Beliau ada cara berguraunya yang tersendiri, mengundang senyuman siapa saja yang mendengarnya. Tentu saja, jarang ada yang berani ketawa bila bersama tokoh yang sangat disegani ini.

Komitmennya sebagai seorang guru silat tidak menghalang beliau dari menceburi bidang lain. Haji Hamid begitu dikenali dengan kepandaiannya memasak. Antara masakannya yang cukup dikenali ialah nasi briyani.

Jarang sekali masakan beliau tidak habis dimakan oleh tetamu bila beliau memasak untuk majlis kenduri kendara.

Di samping itu, Haji Abdul Hamid juga merupakan seorang yang sangat menitikberatkan aspek agama dalam kehidupan. Keilmuannya yang tinggi terserlah melalui keperibadiannya. Beliau tidak banyak bercakap melainkan yang perlu sahaja. Beliau pernah dilantik menjadi imam Masjid Jamik Bukit Kangkar serta Ketua Kampung Bukit Kangkar, Muar.


Perginya Seorang Pahlawan


Makam Haji Hamid Hamzah


Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Setelah 58 tahun berjuang membela anak bangsa, mengajar dan mengembangkan Seni Silat Sendeng, pada tanggal 19 Mei 1990 bersamaan 23 Syawal, 1410 Hijrah, Haji Abdul Hamid Haji Hamzah menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Bukit Kangkar, Sungai Mati, Ledang, Johor pada usia 63 tahun. Kini setelah bertahun-tahun pemergian beliau, nama dan jasanya masih disebut dan dikenang. Bersamalah kita mendoakan semoga Allah S.W.T melimpahkan rahmat ke atas roh beliau.

Al-Fatihah~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...