Thursday, August 29, 2013

Haji Hassan bin Haji Mahat (Haji Hassan Pendekar)


Haji Hassan Pendekar


Haji Hassan bin Haji Mahat ialah nenda kepada Haji Abdul Hamid iaitu ayahanda kepada Haji Hamzah. Beliau mempunyai darah keturunan bugis. Gelaran pendekar yang dimiliki oleh beliau dikurniakan oleh Almarhum Sultan Ibrahim (Sultan Johor) kerana kehandalan dan ketokohan dalam jagat persilatan Melayu. Meskipun beliau memiliki tubuh yang kecil, namun kepantasannya tak dapat ditolok banding. Ketika zaman remajanya, beliau dan ayahnya berniaga ternakan ayam dan itik. Beliau berpindah dari Kesang ke Sungai Mati setelah Sultan Ali menyerahkan Kesang kepada Almarhum Sultan Abu Bakar.


Pendidikan



Haji Hassan Pendekar (duduk di tengah) dan Haji Hamid Hamzah (duduk kanan)

Haji Hassan Mahat mula mendalami ilmu persilatan semenjak usia remajanya lagi. Beliau mula mendapat pendedahan dan pendidikan dalam ilmu persilatan dari ayahanda beliau iaitu Haji Mahat. Sesudah itu, beliau berguru pula ilmu Kuntau Telok Mas atau Kuntau Melaka dengan Haji Abdullah (Dollah Polong) di Telok Mas. Haji Hassan diajar permainan senjata seperti keris, pedang, tumbuk lada, tekpi, pedang perisai dan tembong.

Guru Silat

Haji Hassan mula mengajarkan ilmu persilatannya ini di Sungai Mati, Muar. Kehandalan Haji Hassan sudah sedia diketahui oleh masyarakat setempat. Di rumahnya, beliau seringkali menerima kedatangan tetamu-tetamu 'tidak diundang' kerana mahu menguji kehandalannya. Beliau tidak sahaja menerima cabaran dari perguruan-perguruan silat,malah ada juga cabaran dari aliran-aliran beladiri luar. Lantai serambi rumahnya dipenuhi dengan kesan darah kering para pendekar yang kecundang ketika menduga beliau.

pernah suatu ketika, anak murid beliau, Haji Ismail Hamzah dan Aziz Bai yang juga cucu beliau cuba menyerangnya di dalam gelap. Serangan itu gagal menewaskan Haji Hassan sebaliknya mereka berdua yang ditumpaskan. Ramai yang ingin menduga guru tua itu kerana tersalah perhitungan dengan melihat kepada fizikalnya yang kecil. Tapi kata bidalan Melayu, kecil-kecil cili padi, yang kecil itulah berapi.

Haji Hassan Mahat mempunyai kegemarannya yang tersendiri ketika menghadapi lawan. Beliau memiliki seringkali menggunakan tiga teknik iaitu buang dalam, buang luar dan petik. Serangan kaki Haji Hassan begitu pantas hingga dikatakan lebih pantas dari tangannya. Pernah suatu ketika, seorang jaguh beladiri dari Thailand datang untuk menduga beliau. Jaguh itu kemudiannya ditewaskan dengan satu serangan sahaja.

Haji Hassan dikatakan seorang yang periang, suka bergurau, ceria serta tidak pandai berbohong walaupun beliau sebenarnya sangat pintar dan panjang akal. Kepintaran itu terserlah melalui kebijaksanaan beliau menghadapi lawan. Ketika era pemerintahan Jepun, beliau pernah berdepan dengan situasi ditampar oleh tentera jepun berpangkat tinggi. Sekiranya hendak dibandingkan dengan ketangkasan yang dimilikinya, tentu mudah saja bagi dirinya untuk menumpaskan tentera berkenaan.  Namun beliau memilih untuk berdiam diri sahaja kerana memikirkan nasib yang akan menimpa keluarga dan orang kampung sekiranya beliau bertindak melulu. Namun kesabaran itu tidaklah secara semberono sahaja. Tiga hari kemudian, tentera Jepun berkenaan datang semula ke rumah beliau dengan terpaksa dipapah. Tangan beliau membengkak seolah-olah dipatuk haiwan berbisa, Setelah bersungguh-sungguh meminta maaf, tentera Jepun itu diberi penawar dan terus sembuh seperti sediakala.

Haji Hassan dikurniakan Allah S.W.T dengan umur yang panjang. Sepanjang usianya beliau begitu sihat dan tidak menjadi nyanyuk. Hanya enam hari sebelum beliau meninggal dunia, barulah beliau jatuh sakit. Beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1958 pada usia sekitar 120 tahun.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...