Majlis Khatam Dan Pentauliahan Pembantu Jurulatih

Majlis ini telah berjaya dilansungkan dengan jayanya. Penyatuan dan jemputan daripada Sendeng Muar, Melaka dan N. Sembilan bagi memeriahkan majlis

Tuan Haji Jamaluddin Bin Shahdan

Dalam Kenangan

Kursus Pemantapan Sendeng Haji Hamid

Kusus pemantapan sendeng ini diadakan di Kuala Dong, Raub.

Friday, March 28, 2014

Susahnya Aki Jamal belajar silat dengan Wak Serang.

Aki Jamaluddin bercakap Atuk dia Dol Ghani digelar Wak Serang kerana ia merupakan pangkat semasa bekerja di atas kapal. Saya pun terfikir apa pangkat nama ' serang' dalam kapal? Lalu saya pun menaip dalam kamus bahasa Inggeris melayu digital dalam handphone saya.( aih cikgukan kena bawa kamus ke mana-mana). Pertama yang saya teka " bosun" kamus tulis " see boatswain". Saya taip " boatswain". kamus pun keluar satu perkataan yang mengejutkan saya " serang ". Rupa-rupanya Wak Serang adalah seorang " boatswain " di atas kapal!! soalan kedua " Apa pulak kerja 'boatswain' di atas kapal? setelah mencari dalam kamus ( yang ni senang jer) rupa-rupanya ia adalah pegawai geladak yang menjaga segala peralatan geladak kapal dan juga pegawai yang mengawasi pekerja-pekerja geladak kapal ketika mereka bertugas. Aki kata kelasi kapal zaman tu ganas-ganas kalau tak suka seseorang tu,pakat tikam jer, tetapi dengan Wak Serang dia orang takut. Kata Aki Wak Serang tu putih, tinggi, dan berdada bidang orangnya dan berambut kemerah-merahan. Beliau juga seorang yang kacak. Ini diakui oleh Wan Jah. Berdarah bugis tulen. Masa Aki pergi ke rumah Wak Serang masa kecil, beliau telah memasuki kamar tidur Wak Serang, Maka terpandanglah satu kain terlipat elok tergantung pada salah satu tiang tembaga di katil beliau. Aki pun bertanya: "Tok,tok ini apa ni tok?" Wak Serang menjawab: " Ha Inilah orang panggil tanjak, kalau nak bersilat kena pakai ni tau." "silat la kat aku tok" kata Aki lagi. Lalu Wak Serang mengenakan tanjak tersebut di atas kepala dan terus bersilat di depan Aki. Kata Aki masa itu gerakkan Wak serang sungguh cantik dan tidak pernah tengok gerakkan secantik itu. lalu Aki pun terpikat dan terus memujuk toknya untuk mengajar beliau bersilat. " Tok, ajarlah aku silat, ajarlah aku silat ye " kata Aki berulang-ulang kali memujuk sambil duduk bersila di depan Wak Serang. " Kau nak belajar silat, seposen setiap kali datang" kata Wak Serang. Terdiam kejap Aki, beliau menggaru-garu kepala, mata terkebil-kebil sambil berfikir " Mak aku bagi belanja sekolah seposen sehari, mana nak makan rehat kalau gitu?" Lalu Aki berkata pada Wak serang: " Ala tok, dengan cucu pun nak kira" " Eh! seposen tu buat beli minyak tanah, bila kau datang bersilat. Takkan kau nak bersilat aku kena beli minyak tanah." jelas Wak Serang. Kerana bersungguhnya nak bersilat, Aki simpan duit belanja dia ke sekolah. Bekalan dia ke sekolah ialah Teh 'O' yang bancuh sendiri, lepas tu dimasukkan dalam botol kaca 'gripe water'. ( orang lama mesti tau botol apa nikan?) Setahun setengah Aki tak menjamu di kantin sekolah ketika rehat. Jadi ketika murid-murid lain beratur membeli makanan semasa rehat, Aki akan cari tempat yang sesuai dan mengeluarkan botol gripe water kemudian menogok air teh tu sembunyi-sembunyi. Wak Serang mengajar silat tak ada sifat belas kesihan, kalau ditumbuk, ditumbuknya betul-betul. Kalau ditikam, ditikamnya betul-betul. (pakai tangkai buah kelapa yang dijadikan hujungnya berbara -tapi ini cerita lain kalilah) Setelah tamat kuntau Telok Mas, Wak Serang pun menyuruh Aki ke Sungai Mati belajar sendeng. Tiga tahun kemudian, Aki bersama Abang beliau, Pak Long Sham datang menjengah Wak Serang. Pada ketika itu Wak Serang baru balik dari kebun. " Eh, naik ke rumah budak-budak" kata Wak Serang. "Buatkan diaorang kopi ni." tambah beliau. Bila dah hilang penat, kopi dah diminum,Wak Serang pun berkata: " Meh Din, aku nak tengok sendeng engkau." Aki pun pasang dan tumbuk sepantas mungkin, tangkap dek Wak Serang dan kena pukul balik. terpelanting Aki, tersandar ke dinding. Aki serang lagi kena lagi, berpinar mata. serang, kena, serang, kena. Last-last Wak Serang main tampar-tampar gitu aje. Tak terelak oleh Aki. " Macam mana kau belajar sendeng ni? " tanya Wak Serang. Malu Aki. Setelah Aki berkahwin,setiap kali bertandang ke rumah orang tua Adan, Wak Serang tak pernah lupa bawa buah tangan dari kebun beliau, kelapa, keladi, pisang tanduk dan lain-lain lagi. Aki tidak pernah lupa menghulurkan beliau sedikit duit kopi dan belanja. " Ingat lagi kau kat aku ye" kata Wak Serang pada Aki apabila menerima pemberian Aki. Aki sering membuka gelanggang dengan membaca surah Al fatihah beramai-ramai dan mensedekahkan kepada Allahyaraham Tuan Haji Hamid, Haji Hassan, Taman Dagang dan Haji Mohd Ariff Shamsu. Tapi saya belum lagi mendengar beliau mensedekahkan Al Fatihah beramai-ramai kepada Allahyarham Dol Ghani. Jadi saya mengambil kesempatan ini,meminta marilah kita mensedekahkan Surah Al Fatihah keatas roh beliau. Al Fatihah..~ Admin.

Sunday, March 23, 2014

Pukulan Sendeng 7 Hari


Pukulan 7 Hari adalah antara ilmu permainan Sendeng yang asal. Ia berasal usul dari Haji Mohd Arif Shamsu (Shamsudin) iaitu salah seorang pendekar Sendeng yang tulen. Beliau menghalusi ilmu ini kemudiannya diperturunkan kepada Haji Abdul Hamid Hamzah.

Suatu masa Haji Mohd Arif pernah mengembara ke seluruh pelosok tanahair, dari Johor sehingga ke Pulau Pinang bagi menguji ilmu pukulan 7 Harinya. Sepanjang perjalanannya, beliau tidak bertemu lawan. Tiada siapa yang dapat membuang pukulannya. Nama Pukulan 7 Hari pun menjadi masyhur. Hingga hari ini, ilmu pukulan ini masih diperturunkan dalam perguruan Seni Silat Sendeng Haji Hamid.

Sekitar tahun 1942,  beliau mengajar Pukulan 7 Hari kepada Haji Abdul Hamid. Haji Hamid belajar bersama-sama beberapa orang dewasa seperti Pak Ngah Hassan dll. Haji Abdul Hamid telah diuji dengan dipanggil naik ke rumah dan diserang dari belakang pintu. Serangan itu dapat dielak. Beliau mengakui Hj Abdul Hamid boleh menjadi guru.

Aki bercerita pukul tujuh hari ni tak boleh dibuat cara kawad atau beramai. Ini pukulan yang diturunkan oleh guru kepada murid sorang-sorang dan memang sakit. Aki bercerita masa dia belajar pukul 7 hari dengan Haji Hamid, mata beliau lebam, bibir terbelah, pipi bengkak dan pecah. tak silap tujuh bulan baru mahir. Pemakai pukul 7 hari ni kerjanya membaca gerak orang aje. Tetapi menurut beliau sepantas-pantas Allahyarham Haji Hamid, pantas lagi datuk dia Dol Ghani ( Wak Serang ), Penumbuk orang datang melayang disambutnya begitu aje. Tapi orangnya tak lokek ilmu dan tak iri hati beliaulah yang menyuruh Aki belajar sendeng dari Haji Hamid setelah tamat Kuntau Teluk Mas. Aki menamatkan cerita beliau " Ingat lagi Wak Serang cakap pergilah Din ke Muar belajar sendeng, aku tak dan dah." Itulah sebab pemakai sendeng tujuh hari banyak tak mendabik dada, bukan dia takut tapi bila orang nak belajar, kerjanya asyik kena pukul aje baru dapat. Nak dapatkan Lakak dia bukan masa yang singkat. Sudah pasti ramai yang tak tahan.

Pengelas. ni chek nak mai tanya, yang hang dok ajaq pukul tujuh hari express tuu Yang mai dok ajaq cepat cepat tuuu pukui apa? Pastu mai cas orang ratuih-ratuih, canteeeeeek, sempoi.

Kisah Taman Dagang dan Gajah Liar

Orang gagah, meninggal dunia pun cara gagah juga. Ramai pesilat sendeng tahu dari penceritaan lisan akan kehebatan beliau ni. Apatah lagi gambar beliau bersamping bertanjak bersama-sama Allahyarham Haji Hamzah ada dalam internet. Misai melintang beliau memang menampakkan ketegasan dan kegagahan beliau. Pernah diceritakan apabila beliau memasang kedudukan sendeng,berbelas anak murid beliau cuba menarik tangan beliau untuk meluruskan penumbuk Beliau pasung kekuda dan anak murid menarik sampai berparit atas tanah tetapi kekuda tak terbuka pelebat sendeng tak terlurus. Belum lagi cerita beliau beradu tenaga memikul papan sampai 20 lebih keping. ceritanya pada suatu hari datang orang berlari dan memberitahu beliau kebun rumbia beliau disodok gajah yang nak makan umbut rumbia. Lantas beliau segera mencapai senapang beliau dan pergi mencari gajah yang sedang memakan umbut rumbia itu. Bila dah jumpa Allahyarham pergi dekat gajah itu tadi lalu mengacu senapang patah beliau dan menembak gajah tadi dibawah dagu. Punya dekatnya kedudukan beliau dengan gajah itu tadi. Malangnya gajah itu tadi tumbang rebah menimpa beliau. Bila Allahyarham tidak pulang ke rumah setelah sekian lama. Orang ramai pun pergi mencari beliau. Yang dijumpai mereka hanyalah bangkai gajah dan senapang patah beliau. Kelibat beliau sedikit pun tidak kelihatan. Orang kampung tidak terfikir pun nak menebalikkan bangkai gajah itu tadi kerana tidak menyangka beliau akan ditimpa gajah. Setelah seminggu berlalu, tiba-tiba beliau muncul dirumah dalam keadaan letih dan tak bermaya. Rupa-rupanya untuk keluar dari bawah bangkai gajah tersebut beliau terpaksa mengangkat bangkai tersebut dan keluar. Habis segala kegagahan beliau keluar. Sampai di rumah beliau sudah tak boleh bercakap mungkin lemah sangat. Keluarga beliau cuba memberi air kanji untuk menguatkan tenaga. Tetapi ajal juga yang muncul dan pergilah seorang pendekar memang terkenal dengan kegagahannya. Yang tinggal cuma nama dan gambar beliau. Aki pernah bertanya pada Wak Serang macam mana orang dulu gagah dan dengan bacaan Al Fatihah boleh meniti atas air dan menyeberang sungai. Jawab Wak Serang " Ya dia bertitik". janji tak pernah mungkir bila berjanji kita pegang. Walau bagaimana pun marilah kita sedekahkan surah Al fatihah ke atas roh beliau dan pendekar-pendekar sendeng yang telah pergi meninggalkan kita. Al fatihah.

Cerita Haji Hamid 2 (Menjala udang terjala buaya)

Aki bercerita, zaman dulu kalau bersilat memanglah tak berbayar macam sekarang ni tetapi kalau Arwah Haji Hamid nak membersihkan kebun, kita turun sekali tolong. Kalau nak mencari lauk di sungai, kita sama-sama turun menemankan beliau kata Aki. Jadi tibalah suatu hari Haji Hamid mengajak Aki turun ke sungai Muar untuk menjala udang galah. Dengan menaiki perahu mereka berdua mendayunglah ke tempat yang dijangkakan ada banyak udang. Pada tebaran jala yang pertama, mereka berdua dapat banyak udang. Bila menarik jala pada ditebar kali kedua, jala Allahyarham lekat. Puas beliau berhempas pulas menarik jala tersebut, namun tak bejaya. Haji Hamid pun berpaling di haluan lalu berkata: " Jala lekat Din, Kau tunggu di sini, aku nak turun lepaskan." Dengan berhati-hati Allyarham pun turun kaki dulu dari perahu, kemudian terus menyelam. Tinggallah Aki kesorangan dalam perahu tersebut. Masuk 2 minit Aki dah mula risau, kelibat Haji Hamid tak nampak pun. Dengup jantung dah mula dengar kat telinga 'dub,dab,dub,dab'. Suasana yang sunyi yang dipenuhi bunyi unggas-unggas paya bakau menambahkan kerisauan Aki. Kat bawah belum ada tanda pun Haji Hamid akan naik. Air berkocak pun tidak. Aki dah mula risau tahap dewa. Mata mula meninjau jauh. Takut-takut Allahyarham muncul kat tempat lain. Setelah sekian lama menunggu dalam kerisauan, akhirnya mucul juga kepala Haji Hamid dipermukaan air, tercungap-cungap, beliau menarik jalan yang tersangkut tadi keatas perahu sebelum beliau kemudiannya naik. Jala tu dah koyak tapi koyaknya pelik. Haji Hamid mengangkat jala tersebut dan menunjukkan bahagian yang koyak itu. Koyak tu bentuk bulat, lebih kurang dua pemeluk. Terketar-ketar Aki bertanya: " Bawah tu ada benda tu ke?" Jawab Haji Hamid dengan bersahaja "Kalau aku tahu dia kat bawah, Aku tak turun. Jom kita balik Din" Dalam perjalan pulang Allahyarham memberitahu buaya tu lebih besar dan panjang dari perahu yang mereka naik. Kalau dah koyaknya saja lebih kurang 2 pemeluk, mau ke tidak. Aki pun apa lagi mendayung, tengok belakang, tengok depan, pantang nampak kayu terapung je, hati pun dub,dab,dub dab,dub,dab. ha ha ha sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...