Sunday, November 16, 2014

KISAH PERTARUNGAN LONG MAMAT DAN CHIN CHU

Long Mamat beradu silat dengan Chin Chu.
Long Mamat

Kisah ni sudah lama saya dengar, Akan tetapi butirannya begitu kabur hingga saya memendamnya dengan begitu lama. Namun sekiranya ada pembaca boleh berkongsi dan menambah baik kisah ini, pihak kami amat mengalu-ngalukannya. Apatah lagi membetulkan fakta-fakta dalam cerita saya ini. Yang pasti pertarung ini memang benar-benar terjadi kerana ramai yang menontonnya.Malangnya penonton-penonton itu sudah lama meninggalkan kita. Yang tinggal hanya sastera lisan yang bercelaru hujung pangkalnya. Namun begitu, kalau tidak ditulis, yang diperturunkan secara mulut ke telinga ini juga akan hilang ditelan zaman. Malang juga kita,tidak tahui bila pertarungan ini sebenarnya berlaku.

Secara kebetulan juga nama pendekar cina ini juga sama dengan ketua kumpulan penganas kominis yang bermaharajalela di Perak semasa zaman darurat.

Chin Chu dikatakan berasal dari tanah besar negara China. Sungguh pun begitu beliau ini beragama islam. Malangnya nama Islam beliau tidak pula diketahui. Beliau berkelana dari tanah besar China melawati kepulauan tanah melayu. Kegemaran beliau ialah mengajak pendekar-pendekar tempatan di tempat di mana beliau singgah untuk beradu kepandaian dan kemahiran bersilat. Di katakan juga teknik libasan kaki " kala jengking" beliau amatlah merbahaya dan telah mencederakan serta meragut nyawa ramai pendekar setempat. Kegemaran beliau bermain buah rendah membolehkan teknik libasan kala jengking ini dapat diaplikasikan dengan semaksimum mungkin.Beliau juga dikatakan tidak pernah lagi kalah dengan mana-mana pendekar kepulauan melayu

Beliau telah mengembara ke kepulauan Indonesia dan telah menewaskan ramai pendekar disana dan tibalah masa pendekar Tanah Melayu menjadi santapan beliau. Memang ada pun yang sudah jadi mangsa beliau.

Setibanya beliau di Muar, Johor Beliau telah mendengar akan kehebatan Long Mamat yang gah dengan kepantasan dan kekuatan pukulan tangan beliau. Maka Chin Chu segera ke Padang Muar untuk bertemu dengan Long Mamat.

Tidak susah nak mencari Long Mamat kerana hampir semua penduduk kenal beliau. Setelah bersalam dan memperkenalkan diri, Chin Chu pun segera menyatakan hajat beliau dan mencabar Long Mamat.

" Sudikah tuan untuk beradu silat dengan saya?" tanya Chin Chu.
" Boleh!! " jawab Long Mamat tanpa teragak-agak.

Maka dipersetujui bahawa pertarungan itu akan di adakan disebuah tapak bendang kering di Padang Muar pada minggu yang berikutnya.

Berita pertarungan dua pendekar terbilang ini telah merebak keseluruh Muar dan kawasan berhampiran serta menjadi perbualan hangat penduduk setempat. Masing-masing juga menjangkakan bahawa Long Mamat mempunyai peluang yang tipis untuk menang memandangkan rekod tanpa kalah Chin Chu yang begitu hebat. Walau bagaimana pun masing-masing juga tidak sabar menantikan hari yang dijanjikan untuk mengetahui siapakah yang akan muncul sebagai pemenang.

Pada hari yang dijanjikan, orang ramai telah berkumpul dan berdiri di atas batas-batas bendang menantikan kemunculan dua pendekar hebat ini. Setelah sekian lama menanti, maka muncullah kedua-duanya dan berjalan menuju ketengah satu petak kering diringi sahutan dan sorakan orang ramai. kemudian suasana kembali hening, senyap dan sunyi menahan nafas penuh debaran.

kedua-dua pendekar pun mengelilingi satu sama lain mencari peluang. suasana begitu sepi sekali.

Long Mamat mendapat peluang yang dinantikan, Segera melepaskan satu tumbukan padu kearah rusuk Chin Chu. Kepantasan pukulan Long Mamat tidak dijangka oleh pendekar cina itu....Dbuuuk!!! kuat dan tepat mengenai sasaran.Bergema kuat jeritan Chin Chu kesakitan lalu terlambung 10 depa kebelakang dan jatuh di dalam ribunan lalang di tepi petak itu.

Namun begitu sebelum Chin Chu terlambung beliau sempat melepas tendangan libas kala ke rusuk kiri Long Mamat. Ini menyebabkan Long Mamat juga terlambung kebelakang.

Suasana sunyi tadi bertukar riuh rendah. Penonton berpandangan kearah satu sama lain. Kedua-dua pendekar itu tidak juga bangun-bangun. Terbaring di tempat mereka terhumban. Sungguh pun begitu orang ramai takut untuk menghampiri kedua-dua mereka

Namun setelah beberapa ketika, setelah pasti pertarungan itu berakhir berkerumunlah orang ramai mengelilingi kedua-dua pendekar itu. Chin Chu berkeruh macam lembu kena sembelih dan meninggal dunia disitu juga. Ibarat kata orang yang menontonnya

" Diam-diam lalang, berhenti bergoyang, ajalnya sampai."

Long Mamat juga tinggal nyawa-nyawa ikan. Beliau segera dipapah pulang. Seminggu Long Mamat bertarung nyawa antara hidup dan mati. hanya bergantung dengan air kanji sahaja. Bisa sungguh libasan ekor lipan tu.

Alhamdulillah sembuh juga Long Mamat akhirnya
.
Salam saya kepada seluruh waris dan keturunan Allahyarham Long Mamat. Sekian

admin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...