Tokoh Lagenda Seni Silat Sendeng Haji Hamid

Haji Jamaludin Shahdan dan gurunya Haji Hamid Hamzah

M

M

Tuan Haji Jamaluddin Bin Shahdan

Dalam Kenangan

Kursus Pemantapan Sendeng Haji Hamid

Kursus pemantapan sendeng ini diadakan di Kuala Dong, Raub.

Friday, August 30, 2013

Long Mamat




Long Mamat ialah seorang pendekar yang berketurunan Bugis. Beliau berasal dari Pontian, Johor. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab membawa ilmu pukulan Sendeng ke Muar pada penghujung kurun ke-19 (1885-1910). Beliau pernah merantau ke Brunei dan Kalimantan. Di sana, beliau menggunakan nama panggilan yang berbeza beza pada setiap tempat persinggahannya.

Dikatakan ilmu Sendeng itu diwarisi dari bapa saudara beliau dan dipelajari di atas kapal. Diceritakan juga, beliau mempelajari ilmu tersebut dari bapa saudaranya setelah beliau tewas ketika menduga bapa saudaranya itu. Long Mamat pada ketika itu sudah pun berguru dengan 39 orang guru silat. Kisah ini diceritakan oleh seorang tua di Parit Bakar kepada Allahyarham Hj Ismail Hamzah.

Long Mamat kemudiannya telah dijemput oleh Penghulu Mukim Serom untuk mengajar ilmu Sendeng di Serom. Penghulu ketika itu ialah Penghulu Haji Abdullah, iaitu datuk kepada Dato' Abd Ghani Othman (bekas Menteri Besar Johor). Seramai 5 orang pendekar telah dipilih setelah diadakan suatu pertandingan di Serom. Kelima-lima pendekar tersebut ialah Taman Dagang, Pak Unggal Khalil (adik Taman Dagang), Haji Mohd Arif Shamsu(din), Pak Habib dan Naib Nalang.

Long Mamat juga mempunyai ramai murid lain selain di Serom iaitu di Parit Bakar hingga ke Parit Raja, Muar. Salah seorang anak murid beliau ialah Haji Baba bin Makruf (1901-1984). Anak cucu beliau di Pontian, Johor pula mengembangkan Silat Kuntau Sendeng yang diterajui oleh cucunya iaitu Penghulu Zakaria Kasim.

Thursday, August 29, 2013

Haji Hassan bin Haji Mahat (Haji Hassan Pendekar)


Haji Hassan Pendekar


Haji Hassan bin Haji Mahat ialah nenda kepada Haji Abdul Hamid iaitu ayahanda kepada Haji Hamzah. Beliau mempunyai darah keturunan bugis. Gelaran pendekar yang dimiliki oleh beliau dikurniakan oleh Almarhum Sultan Ibrahim (Sultan Johor) kerana kehandalan dan ketokohan dalam jagat persilatan Melayu. Meskipun beliau memiliki tubuh yang kecil, namun kepantasannya tak dapat ditolok banding. Ketika zaman remajanya, beliau dan ayahnya berniaga ternakan ayam dan itik. Beliau berpindah dari Kesang ke Sungai Mati setelah Sultan Ali menyerahkan Kesang kepada Almarhum Sultan Abu Bakar.


Pendidikan



Haji Hassan Pendekar (duduk di tengah) dan Haji Hamid Hamzah (duduk kanan)

Haji Hassan Mahat mula mendalami ilmu persilatan semenjak usia remajanya lagi. Beliau mula mendapat pendedahan dan pendidikan dalam ilmu persilatan dari ayahanda beliau iaitu Haji Mahat. Sesudah itu, beliau berguru pula ilmu Kuntau Telok Mas atau Kuntau Melaka dengan Haji Abdullah (Dollah Polong) di Telok Mas. Haji Hassan diajar permainan senjata seperti keris, pedang, tumbuk lada, tekpi, pedang perisai dan tembong.

Guru Silat

Haji Hassan mula mengajarkan ilmu persilatannya ini di Sungai Mati, Muar. Kehandalan Haji Hassan sudah sedia diketahui oleh masyarakat setempat. Di rumahnya, beliau seringkali menerima kedatangan tetamu-tetamu 'tidak diundang' kerana mahu menguji kehandalannya. Beliau tidak sahaja menerima cabaran dari perguruan-perguruan silat,malah ada juga cabaran dari aliran-aliran beladiri luar. Lantai serambi rumahnya dipenuhi dengan kesan darah kering para pendekar yang kecundang ketika menduga beliau.

pernah suatu ketika, anak murid beliau, Haji Ismail Hamzah dan Aziz Bai yang juga cucu beliau cuba menyerangnya di dalam gelap. Serangan itu gagal menewaskan Haji Hassan sebaliknya mereka berdua yang ditumpaskan. Ramai yang ingin menduga guru tua itu kerana tersalah perhitungan dengan melihat kepada fizikalnya yang kecil. Tapi kata bidalan Melayu, kecil-kecil cili padi, yang kecil itulah berapi.

Haji Hassan Mahat mempunyai kegemarannya yang tersendiri ketika menghadapi lawan. Beliau memiliki seringkali menggunakan tiga teknik iaitu buang dalam, buang luar dan petik. Serangan kaki Haji Hassan begitu pantas hingga dikatakan lebih pantas dari tangannya. Pernah suatu ketika, seorang jaguh beladiri dari Thailand datang untuk menduga beliau. Jaguh itu kemudiannya ditewaskan dengan satu serangan sahaja.

Haji Hassan dikatakan seorang yang periang, suka bergurau, ceria serta tidak pandai berbohong walaupun beliau sebenarnya sangat pintar dan panjang akal. Kepintaran itu terserlah melalui kebijaksanaan beliau menghadapi lawan. Ketika era pemerintahan Jepun, beliau pernah berdepan dengan situasi ditampar oleh tentera jepun berpangkat tinggi. Sekiranya hendak dibandingkan dengan ketangkasan yang dimilikinya, tentu mudah saja bagi dirinya untuk menumpaskan tentera berkenaan.  Namun beliau memilih untuk berdiam diri sahaja kerana memikirkan nasib yang akan menimpa keluarga dan orang kampung sekiranya beliau bertindak melulu. Namun kesabaran itu tidaklah secara semberono sahaja. Tiga hari kemudian, tentera Jepun berkenaan datang semula ke rumah beliau dengan terpaksa dipapah. Tangan beliau membengkak seolah-olah dipatuk haiwan berbisa, Setelah bersungguh-sungguh meminta maaf, tentera Jepun itu diberi penawar dan terus sembuh seperti sediakala.

Haji Hassan dikurniakan Allah S.W.T dengan umur yang panjang. Sepanjang usianya beliau begitu sihat dan tidak menjadi nyanyuk. Hanya enam hari sebelum beliau meninggal dunia, barulah beliau jatuh sakit. Beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1958 pada usia sekitar 120 tahun.

Haji Abdul Hamid Hamzah menentang Komunis

Era Pemerintahan komunis tentunya meninggalkan parut kekal dalam hati setiap orang yang pernah melaluinya. Kekejaman bermaharaja lela. Setiap hari ada sahaja insan yang menjadi mangsa. Pelbagai alasan direka bagi menyokong tindakan kejam mereka. Ada diantaranya yang diculik serta dilarikan ke dalam hutan dan sehingga ke hari ini tidak pernah kembali lagi. Hati siapakah tidak terluka bila kian hari semakin ramai orang yang hilang dilarikan komunis. Namun tidak ramai yang berani melakukan apa-apa kerana bimbang diapa-apakan. Ada ibu dan ayah yang terpaksa melihat saja anak tersayang diheret ke dalam hutan dan tak kurang juga anak-anak yang menjadi yatim dek kerana perbuatan komunis durjana.


Pengganas Komunis
cerita itu kemudiannya sampai ke telinga Haji Abdul Hamid Hamzah. Kesabaran beliau akhirnya sampai ke kemuncaknya apabila seorang penduduk bernama Alang Hamid diculik dan dilarikan ke dalam hutan. Tidak tahu khabar entah hidup entahkan mati. Sebagai seorang pahlawan Melayu yang sejati, Haji Abdul Hamid memang tidak pernah mengenal erti gentar. Dilihatnya komunis semakin lama semakin kecil. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk bertindak seorang diri. Berbekalkan ilmu kepahlawanan yang penuh di dada, ketua komunis yang bermarkas di Sekolah Kebangsaan Cina Pei Wha itu akhirnya telah dibunuh.Rentetan dari peristiwa itu, kumpulan pengganas komunis mula menjadi kucar kacir, ketakutan dan akhirnya tidak lagi berpengkalan di sekolah tersebut.


Pengganas Komunis

Menurut Ahmad Nazari Hj Abdul Hamid (Cikgu Atan), ayahandanya itu pernah berjuang bersama-sama dengan pahlawan lagenda Kiyai Salleh, Pawang Satam, dan Pawang Lipah untuk menentang komunis. Senjata yang digunakan oleh mereka hanyalah parang panjang dan buluh runcing sedangkan pihak musuh berbekalkan senjata api. Namun dengan izin Allah S.W.T ramai anggota komunis dapat dibunuh termasuklah salah seorang ketuanya yang bernama Ah Sok dari Bukit Kangkar. Setelah 3 malam berturut-turut mereka melakukan serang hendap, akhirnya ketua kumpulan itu, Mat indera terpaksa berundur. Di pihak pahlawan Melayu, tiada seorang pun yang gugur.
n

M

Wednesday, August 28, 2013

Haji Taman Dagang

Dari Kiri : Haji Hamzah dan Haji Taman Dagang



Ppp Haji Taman Dagang ialah nenda kepada Haji Abdul Hamid Hamzah. beliau merupakan seorang guru Sendeng yang asli. Taman Dagang sungguh dikenali dengan kegagahan dan keperkasaannya. Dikatakan beliau memiliki kegagahan itu secara semulajadi iaitu semenjak beliau belum mempelajari silat lagi. Ia diwarisi dari bapanya yang juga terkenal kebal dan gagah. Ayah beliau bekerja sebagai pemburu gajah.

Pendidikan

Taman Dagang mempelajari ilmu persilatan dari beberapa orang guru. Antaranya ialah Long Mamat, cikgu Kumudin dan Pendekar Putih. Taman Dagang begitu dikasihi oleh gurunya, Long Mamat dan selalu dilatih secara rahsia pada sebelah malam, iaitu ketika rakan-rakannya yang lain sedang tidur. Setelah berguru dengan Long Mamat, beliau berguru pula dengan Cikgu Kumuddin yang berasal dari Alai, Melaka. Beliau Kemudiannya belajar pula dengan Pendekar Putih yang berasal dari Acheh. Dikatakan bahawa Pendekar Putih ini diburu oleh Raja Achen dan melarikan diri ke Serom seterusnya meminta perlindungan dari penghulu Serom. Beliau kemudiannya tinggal di rumah Taman Dagang. Di sanalah Taman Dagang belajar pukulan dari Pendekar Putih yag akhirnya mashur di Jambi.

Pendekar

Kegagahan dan kehandalan Taman Dagang bukanlah suatu perkara yang asing lagi bagi masyarakat setempat. Bapanya sendiri pernah mengujinya ketik beliau sedang tidur. Bapanya yang ketika itu baru saja pulang dari merantau merejam beliau dengan lembing. Lembing itu ditangkap menggunakan jari kaki sahaja.

Diceritakan juga oleh Cikgu Jamaluddin Shahadan, bahawa Taman Dagang itu orangnya sangat gagah, hingga dia tidak perlu menggunakan kacip untuk membelah pinang ketika makan sireh. Beliau hanya meletakkan saja buah pinang yang sudag dikupas itu di antara jari jemarinya. Dengan sekali genggam, pinang-pinang itu hancur berkecai. Adakalanya pinang itu terus dikunyah dengan gigi sahaja.

Pernah juga disaksikan, Taman Dagang meletakkan penumbuk pada sebatang tiang rumah lama. dengan sekali 'denyut', seluruh rumah itu bergoyang hinggakan lampu yang bergantungan juga turut berayun-ayun. Kegagahannya itu membuatkan beliau terpaksa memilih lawan, antaranya ialah Haji Hamzah kerana mereka sama-sama tidak lut senjata. Selain itu beliau juga mempunyai kelebihan untuk menumpaskan musuh yang menyerang dalam gelap atau dari arah belakang.

Banyak lagi kisah kegagahan pahlawan ini. Namun Keperibadiannya tetap sebagaimana bangsa Melayu yang tidak suka meninggi diri. Gagahnya tetap santun.


Tuesday, August 27, 2013

Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah

Haji Abdul Hamid Hamzah


Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah atau juga dikenali dengan nama Hamid Jah atau Hamid Rimau merupakan pengasan utama perguruan Seni Silat Sendeng. Beliau merupakan anak ke 3 dari 13 orang adik beradik. Beliau mempelajari dan mewarisi ilmu kependekaran dari kedua orang nindanya yang juga sangat terbilang dalam jagat persilatan iaitu Haji Hassan bin Haji Mahat dan juga Haji Taman Dagang.

Pendidikan

Beliau mula mendapat pendidikan awal ilmu persilatan pada tahun 1932. Ketika itu usia beliau baru saja mencecah 5 tahun. Gurunya ialah ninda beliau sendiri iaitu Haji Hassan Mahat iaitu seorang guru yang ternama dalam permainan asli Kuntau Melaka atau Kuntau Telok Mas. Beliau berguru dengan haji Hassan Mahat selama 10 tahun iaitu sehingga Haji Hassan berpuas hari dan mendapati beliau telah benar-benar mahir dan masak. Pembelajarannya tidak hanya merangkumi ilmu pertempuran tangan kosong, bahkan juga beliau turut diajar kaedah bermain senjata. Antara senjata yang dipelajari dari nindanya ini ialah keris, pedang, tekpi, tumbuk lada, tembong, tuas, tongkat dan kerambit. Selain itu beliau turut diajar permainan belebat, buah tangkap, kuntau dan banyak lagi permainan seni, tari dan pukulan.

Setelah itu Haji Hamid berguru pula dengan nindanya di sebelah ibu iaitu Taman Dagang yang begitu dikenali gagah dan perkasa. Beliau diajarkan ilmu sendeng yang asli merangkumi berbagai-bagai permainan antaranya ialah ilmu pukul dan lapis sendeng. Keperitan belajar dengan Taman Dagang begitu terasa kerana nindanya itu sungguh tegas dalam menyampaikan pelajaran. Setiap belebat diajar dan diasuh selama 6 bulan. Namun semua itu tidak sedikit pun melemahkan minat beliau, bahkan segalanya ditempuhi dengan tabah tanpa sebarang rungutan. Ketika itu, beliau belajar dari Taman Dagang secara bersendirian. Berkat ketabahan dan kegigihan, beliau akhirnya berjaya menguasai ilmu sendeng secara menyeluruh.

Seterusnya, beliau mendalami pula ilmu Pukulan 7 hari dari Haji Mohd Arif Shamsu (Shamsudin). Haji Hamid kemudiannya diuji oleh Haji Mohd Arif Shamsu dengan serangan dari belakang pintu. Kejayaanya mengatasi serangan itu memuaskan hati gurunya dan beliau diiktiraf layak menjadi guru.

Setelah melengkapkan diri dengan ilmu persilatan, beliau menemui pula Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim yang juga dikenali dengan nama Kiyai Salleh atau Panglima Salleh bagi menuntut ilmu agama dan kerohanian. Sebelum diterima menjadi murid, Haji Hamid telah diuji terlebih dahulu dengan disuruh mengerjakan kebun selama 6 bulan. Hanya selepas tempoh 6 bulan tamat, barulah Kiyai Salleh bertanyakan nama Haji Hamid seterusnya diterima belajar, Selama 3 tahun (1946-1949) Haji Abdul Hamid tinggal bersama Panglima Salleh dan berguru ilmu agama dan kebatinan dari beliau. Sebelum dikhatamkan, Haji Abdul Hamid diuji akan pemahaman tauhidnya dengan disuruh beramal di dalam sebuah gua di sebuah bukit di Parit Sulong untuk mendapat ilmu dari harimau jadian. Haji Abdul Hamid pantas memahami maksud gurunya itu dan menolaknya dengan baik. Beliau menyatakan bahawa adalah lebih baik baginya untuk beramal di dalam masjid. Gurunya gembira dengan jawapan itu dan memutuskan bahawa Haji Abdul Hamid telah layak dikhatamkan.

Selain dari guru-guru tersebut, Haji Abdul Hamid juga dikatakan turut berguru dengan;

Kiyai Mustahir, Pagoh.
Panglima Lias, Pagoh.
Haji Mohd Lip Bedu (Ilmu Tauhid)
Haji Abdul Ghani, Jalan Daud, Muar
Dato Mohd Bakar (Kadi Besar, Johor)
Ustaz Sulaiman Sujak
Ustaz Ahmad Tunggal, Parit Sakai, Muar.

Guru Silat

Haji Abdul Hamid mula mengajar dan mengembangkan ilmu persilatan sendeng ini sekitar tahun 1950-an. Ketika itu beliau telah pun 'masak' dalam ilmu kependekaran dan mendapat izin dan tauliah dari guru-gurunya. Beliau mula mengembangkan sendeng di bawah nama 'Silat Sendeng Muar' dan kemudiannya ditukar kepada Seni Silat Sendeng Malaysia.

Perjalanan hidup sebagai guru silat tentu saja tidak mudah. Pelbagai cabaran dan pahit getir terpaksa dilalui. Sudah menjadi asam garam guru silat masa dahulu, tentu saja ada yang mencabar dan menyudi. Namun ia bukan sahaja gagal menjatuhkan beliau, malah namanya kian harum dan disanjung tinggi.

Atas usaha gigih beliau bersama anak-anak muridnya, akhirnya perguruan ini kian tersebar ke seluruh Negara terutamanya Negeri Johor, Negeri Pahang, Negeri Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan lain-lain.

Antara anak murid beliau yang dikenali ialah :
  Haji Ismail bin Haji Saidin @ Tok Sidang
  Haji Jamaludin bin Shahdan @ Cikgu Jamal
  Ahmad Nazari Bin Haji Abdul Hamid @ Cikgu Atan (Anak Haji Hamid)
  Haji Rosmani bin Abd Samad.

Keperibadian Tinggi

Haji Abdul Hamid
Nama Haji Hamid Hamzah begitu terkenal di kalangan masyarakat di zamannya. Meskipun ramai yang mengenali beliau sebagai seorang yang tegas dan digeruni, anak murid beliau yang benar-benar mengenali peribadinya, sangat mengasihi beliau. Menurut cerita Haji Jamaludin Shahdan, Haji Hamid sebenarnya seorang yang penyayang. Beliau ada cara berguraunya yang tersendiri, mengundang senyuman siapa saja yang mendengarnya. Tentu saja, jarang ada yang berani ketawa bila bersama tokoh yang sangat disegani ini.

Komitmennya sebagai seorang guru silat tidak menghalang beliau dari menceburi bidang lain. Haji Hamid begitu dikenali dengan kepandaiannya memasak. Antara masakannya yang cukup dikenali ialah nasi briyani.

Jarang sekali masakan beliau tidak habis dimakan oleh tetamu bila beliau memasak untuk majlis kenduri kendara.

Di samping itu, Haji Abdul Hamid juga merupakan seorang yang sangat menitikberatkan aspek agama dalam kehidupan. Keilmuannya yang tinggi terserlah melalui keperibadiannya. Beliau tidak banyak bercakap melainkan yang perlu sahaja. Beliau pernah dilantik menjadi imam Masjid Jamik Bukit Kangkar serta Ketua Kampung Bukit Kangkar, Muar.


Perginya Seorang Pahlawan


Makam Haji Hamid Hamzah


Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Setelah 58 tahun berjuang membela anak bangsa, mengajar dan mengembangkan Seni Silat Sendeng, pada tanggal 19 Mei 1990 bersamaan 23 Syawal, 1410 Hijrah, Haji Abdul Hamid Haji Hamzah menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Bukit Kangkar, Sungai Mati, Ledang, Johor pada usia 63 tahun. Kini setelah bertahun-tahun pemergian beliau, nama dan jasanya masih disebut dan dikenang. Bersamalah kita mendoakan semoga Allah S.W.T melimpahkan rahmat ke atas roh beliau.

Al-Fatihah~




Sunday, August 25, 2013

Salam Pembuka Bicara.



As'salamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Syukur ke hadrat Illahi, dengan limpah dan kurnia-Nya maka Laman Web Rasmi Persatuan Seni Silat Sendeng Haji Hamid ini berjaya diwujudkan. Sekalung tahniah dan penghargaan diucapkan buat para admin yang bertungkus lumus berusaha untuk menyiapkannya. Hanya Allah S.W.T saja yang dapat membalasnya.

Tujuan pembinaan laman web ini adalah sebagai media hebahan rasmi buat warga Seni Silat Sendeng Haji Hamid khususnya dan juga masyarakat umumnya. Selain itu, laman web ini juga akan berfungsi sebagai sumber maklumat dan rujukan tentang sejarah perguruan, latarbelakang, silibus, aktiviti, dan maklumat-maklumat lain tentang persatuan. Pelbagai gambar akan dimuatkan bagi memberikan gambaran yang jelas tentang persatuan. Usaha pengubahsuaian dan penambahbaikan akan dilakukan oleh para admin dari masa ke semasa. Semoga usaha ini akan diberkati Allah sentiasa. In Shaa Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...