Monday, January 20, 2014

Kuntau Telok Mas (Kuntau Melaka)

Kuntau Melaka dikesan berasal usul dari Haji Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Dollah Polong. Beliau menetap di Telok Mas, Melaka. Beliau adalah seorang pendekar dan guru silat yang warak, disegani dan tinggi pengetahuan agamanya. Di jagat persilatan, beliau sangat terkenal dengan kepantasan pukulannya. Adapun gelaran Dollah Polong itu bukanlah kerana beliau membela polong, tetapi kerana kepantasan pukulannya yang tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kasar dek kerana terlalu pantas dan derasnya. Atas kerana itulah orang menggelarkan beliau membela polong. Cerita yang mengatakan beliau membela polong adalah dongeng semata-mata dan direka oleh orang yang tidak tahu menahu.

Menurut Tuan Haji Jamaludin (Aki Jamal) Haji Abdullah merupakan di antara saki baki tentera Raja Haji Fisabilillah ibni Daeng Chelak ( 1727- 1784). Sesudah kemangkatan Raja Haji, tenteranya membina penempatan dan ilmu peperangannya terus dikekalkan dalam gelanggang silat.

Aliran permainan silat yang diamalkan oleh Haji Abdullah itu diberi nama Kuntau Telok Mas atau juga dikenali sebagai Kuntau Melaka. Beliaulah orang yang bertanggungjawab mengajarkan permainan Kuntau Telok Mas kepada Haji Hassan Pendekar dan juga Dol Ghani (datuk kepada Haji Jamaludin Shahdan).

Antara senjata yang dikuasai beliau ialah keris,tembong, tekpi, pedang, tumbuk lada dan pedang perisai.

Seterusnya ilmu ini diwarisi oleh Haji Hassan pendekar dan diturunkan kepada Haji Abdul Hamid. Haji Abdul Hamid telah mula berjinak-jinak dengan ilmu kependekaran pada tahun 1932, semasa berusia 5 tahun, dibawah asuhan dan bimbingan nindanya Haji Hassan bin Haji Mahat. Selama lebih kurang 10 tahun beliau telah mempelajari bukan sahaja sepak terajang silat malah seni dan tari silat serta cara menggunakan alat silat seperti pedang, keris, tumbuk lada, tek-pi, tembong, tongkat, tuas dan kerambit.

Sehingga kini ilmu Kuntau Melaka masih diwariskan kepada pengamal Silat Sendeng Malaysia. Versi asal Kuntau Melaka juga masih diwariskan kepada pesilat-pesilat Sendeng Haji Hamid Negeri Pahang demi menjaga ketulenannya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...