Friday, August 30, 2013

Long Mamat




Long Mamat ialah seorang pendekar yang berketurunan Bugis. Beliau berasal dari Pontian, Johor. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab membawa ilmu pukulan Sendeng ke Muar pada penghujung kurun ke-19 (1885-1910). Beliau pernah merantau ke Brunei dan Kalimantan. Di sana, beliau menggunakan nama panggilan yang berbeza beza pada setiap tempat persinggahannya.

Dikatakan ilmu Sendeng itu diwarisi dari bapa saudara beliau dan dipelajari di atas kapal. Diceritakan juga, beliau mempelajari ilmu tersebut dari bapa saudaranya setelah beliau tewas ketika menduga bapa saudaranya itu. Long Mamat pada ketika itu sudah pun berguru dengan 39 orang guru silat. Kisah ini diceritakan oleh seorang tua di Parit Bakar kepada Allahyarham Hj Ismail Hamzah.

Long Mamat kemudiannya telah dijemput oleh Penghulu Mukim Serom untuk mengajar ilmu Sendeng di Serom. Penghulu ketika itu ialah Penghulu Haji Abdullah, iaitu datuk kepada Dato' Abd Ghani Othman (bekas Menteri Besar Johor). Seramai 5 orang pendekar telah dipilih setelah diadakan suatu pertandingan di Serom. Kelima-lima pendekar tersebut ialah Taman Dagang, Pak Unggal Khalil (adik Taman Dagang), Haji Mohd Arif Shamsu(din), Pak Habib dan Naib Nalang.

Long Mamat juga mempunyai ramai murid lain selain di Serom iaitu di Parit Bakar hingga ke Parit Raja, Muar. Salah seorang anak murid beliau ialah Haji Baba bin Makruf (1901-1984). Anak cucu beliau di Pontian, Johor pula mengembangkan Silat Kuntau Sendeng yang diterajui oleh cucunya iaitu Penghulu Zakaria Kasim.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...