Wednesday, August 10, 2016

PERGINYA SEORANG GURU

Bingkis Buat Guru

Khamis, 14 Julai 2016 bersamaan 9 Syawal 1437 Hijrah. Hari ini adalah hari yang paling mendukacitakan dalam sejarah penubuhan Persatuan Seni Silat Sendeng Haji Hamid Negeri Pahang. Kami telah kehilangan sebutir permata yang sangat berharga buat kami, iaitu guru dan ayahanda yang kami kasihi, Tuan Haji Jamaluddin bin Shahdan. Beliau yang sememangnya menghidap penyakit tekanan darah tinggi telah diserang strok sehari sebelum pemergiannya dan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12 tengah hari di Hospital Temerloh. Pemergian beliau bagi meninggalkan satu lubang besar dalam hati kami. Tokoh yang tidak boleh dicari ganti.

Jasa Allahyarham terlalu banyak buat kami. Tidak sekadar dalam dunia persilatan sahaja bahkan turut merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Perjalanan hidup beliau yang penuh dengan pengalaman menjadikan kata-kata yang keluar dari mulut beliau begitu berharga. Bekalan yang sangat berguna dalam menempuh hari mendatang. Sungguh Allah S.W.T sahajalah yang dapat membalas jasa beliau.

Semoga Allah S.W.T mengampunkan segala dosa-dosa Allahyarham dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman. Bagi pihak Tuan Haji Jamaluddin, saya meminta semua yang mengenali beliau dapat memaafkan segala kesalahannya andai ada silap dan salah beliau terhadap tuan-tuan semasa hayatnya.. Al-Fatihah..~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...