Monday, April 11, 2022

Siapakah Sebenarnya Wak Serang


Selepas saudara Arifin Raub bercerita tentang Wak Serang, maka beberapa orang follower Fb ini telah berwhatsapp dan pm tepi pada saya bertanyakan pasal Wak Serang ini.
Persoalannya kenapa nama Wak Serang Sering disebut sebut di dalam nukilan Sendeng Haji Hamid, tetapi tidak pernah timbul dalam mana mana karya persatuan persatuan Sendeng lain dari aliran Almarhum Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah?
Apakah sumbangan yang diberikan oleh beliau sehingga ia begitu begitu disanjungi dalam pengamal sendeng negeri Pahang?
Apakah aliran silat yang dia bawa dan apakah hubungkaitnya dengan Allahyarham Tuan Haji Jamaludin bin Shahdan yang lebih popular dengan gelaran Aki?
Sebenarnya kisah-kisah Wak Serang dan Aki ini pernah saya coretkan dalam penulisan saya diawal penglibatan saya dengan Facebook sendeng ini.
Nama sebenar Wak Serang adalah Dol Ghani. Beliau merupakan Datuk Saudara sebelah ayahnya iaitu Shahdan bin Ibrahim ( Jorak Bukit Pasir ). Wak Serang merupakan gelaran Melayu kepada panggilan beliau sebagai Boatswain atau Bosun dalam Bahasa Inggeris. Ia merupakan pangkat bagi ketua geladak kapal.
Pada masa mudanya Wak Serang telah berkerja sebagai Boatswain ( Serang ) dengan syarikat perkapalan gergasi ketika itu, iaitu Strait Steamship Corporation yang berpengkalan di Singapore. Syarikat itulah membawa bekalan dan bahan mentah dari Pulau Pinang, Pelabuhan Kelang dan Singapura. Menurut Arwah Haji Jamaludin bukan senang nak menjaga dan mengawal sekumpulan kelasi dek yang juga hebat hebat dalam ilmu persilatan. Jadi sudah tentulah Wak Serang juga bukan calang calang orangnya. Sikapnya yang tidak boleh alpa telah menyebabkan beliau membawa sepasang beladau kemana mana beliau pergi. Walaupun beliau telah bersara dari menjadi kelasi, namun beliau tetap membawa beladau ke mana saja beliau pergi kerana sudah sebati dalam jiwanya.
Wak Serang mempelajari ilmu Kuntau Telok Mas dari Haji Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Dollah Polong di Telok Mas Melaka. Beliau seguru dengan Allahyarham Tuan Haji Hassan bin Haji Mahat atau lebih dikenali sebagai Haji Hassan Pendekar yang merupakan datuk kepada Allahyarham Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah. Ayah Arwah Aki telah membawa Aki menemui Wak Serang kerana tak tahan dengan perangai Aki yang kuat bertumbuk. Dengan Wak Seranglah Aki belajar silat aliran Kuntau Telok Mas hampir tiap tiap malam selama 2 tahun dengan bayaran10 sen semalam. ( Ceritanya ada dalam fb ini). Semasa Wak Serang menyuruh Aki belajar sendeng dengan Haji Hamid, Umur Wak Serang pada ketika itu 67 tahun manakala umur Tuan Haji Hassan pada ketika itu sudah mencapai 110 tahun.
Wak Serang hanya disebut dalam Sendeng Haji Hamid Pahang kerana nama beliau hanya berada dalam sanad Allahyarham Aki sahaja. Di sini terdapat sedikit kelebihan pada Sendeng kat sini, kerana kami dapat membezakan mana satu Sendeng dan mana satu Kuntau dalam
Sendeng ini serta adalah sedikit permainan asal Kuntau yang masih dipelihara. Sebab pesan arwah kena jaga. Jangan lupa asal usul.
Wak Serang meninggal dunia semasa Aki mengajar di Tanah Merah Kelantan. Menyedihkan, Arwah Aki hanya mengetahuinya selepas 2 bulan beliau pergi mengadap ilahi. Malah lebih menyedihkan lagi, Aki tidak mengetahui dimana jenazah Wak Serang disemadikan. Ini disebabkan sifat Wak Serang yang suka berpindah randah dan mempunyai isteri yang ramai, serta ramai juga bercerai hidup
Arwah Aki tidak mengetahui siapakah yang memegang sepasang beladau kepunyaan tok saudaranya itu kerana terputus hubungan selepas beliau mengajar di Kelantan.
Sekianlah sedikit coretan permulaan kembali dari saya, saya akan tulis pengalaman Aki belajar dengan Wak Serang yang masih ada saya ingat.
Sedekahkanlah Alfatihah kepada pejuang pejuang dan pendekar pendekar Kuntau Telok Mas dan Sendeng yang telah pergi... Aamiin..

admin
12/4/2022
1.25 a.m

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...