Wednesday, April 6, 2022

BELADAU WAK SERANG

 



BELADAU WAK SERANG


"Ini senjata saya sarankan awak belajar".

Begitulah kata-kata yang diucapkan oleh Arwah Aki Jamal sewaktu menceritakan tentang senjata beladau. Bagi Arwah Aki, senjata ini ada 'sentimental value'. Mengapa? Kerana beladau adalah senjata peribadi pilihan datuknya, Wak Serang!

Menurut Arwah Aki, Wak Serang mempunyai sebilah beladau yang sangat beliau sayangi. Beladau itu sentiasa dibawanya ke mana-mana. Ketika mengajarkan tentang cara penggunaan dan permainannya, Arwah Aki menceritakan juga tentang rupa beladau itu. Aki menggambarkannya dengan sangat terperinci. Saya seolah dapat melihatnya dengan mata kepala sendiri. Seolah-olah saya benar-benar kembali ke era puluhan tahun lalu. Duduk bersama di sebelah Aki yang ketika itu masih kecil, dalam sebuah rumah kayu lama. Kelihatan Wak Serang duduk bersila dan berpakaian bersih. Berbaju ala-ala pagoda lusuh berwarna putih.

Aki bercerita, satu malam beliau melihat Wak Serang yang sudah agak berusia itu tiba-tiba bangun. Beliau lantas mengambil beladaunya lalu disisip rapi di pinggang.

"Tok tok, tok nak pergi mana tok?", tanya Aki ingin tahu..

"Nak ke belakang", jawab Wak Serang. 'Belakang' yang dimaksudkan ialah rumah kecil untuk melepaskan 'hajat'

"Aik nak buang air bawak pisau?", Aki bertanya kehairanan.

"Manalah tahu ada binatang buas ke..", jawab Wak Serang ringkas.

Berkerut dahi Aki. Di fikirannya tertanya-tanya, mana ada binatang buas dekat sini. Reaksi Aki ketika mendengar jawapan Wak Serang itu sama saja dengan reaksi kami mendengar cerita Aki. Di benak kami muncul persoalan. Nak buat apa??

Kemudian sambil tersenyum Aki berkata kepada kami,

"Dia cemburu.."

Agak lama juga barulah kami dapat mentafsir maksud Aki. Iya, seiring dengan usia dan kematangan, kita akan dapat mentafsir banyak perkara yang dahulunya memeningkan. Sama seperti Aki. Sampai masanya, kita akan tersenyum sendiri.. Puas..

Tentang beladau itu, kata Aki kini mungkin ia masih ada dalam jagaan waris-waris Wak Serang. Menjadi pusaka warisan keluarga.

P/S : Kepada pembaca baru yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Aki dan Wak Serang, boleh merujuk artikel-artikel lama kami di page ini.

AR~

admin - 
06/04/2022
4 RAMADHAN 1443H


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...