Saturday, April 2, 2022

ILMU JATUH



As'salamualaikum buat warga Page Sendeng Haji Hamid. Sudah lama rasanya kita tidak bersiaran. Masing-masing sibuk dengan komitmen kerja, keluarga dan anak-anak. Tambahan pula dengan kekangan SOP yang ketat di era pasca pandemik ini, gelanggang tidak dapat beroperasi seperti biasa. Namun sebenarnya persatuan ini masih aktif bergerak, cuma dengan cara yang berbeza. Inilah sifat silat, ia menyesuai dengan zaman.

Hari ini ramai berpendapat silat tidak lagi releven. Kononnya sudah lapuk dan ketinggalan zaman.

"Ah zaman sekarang ni orang pakai pistol. Tak pakai dah silat-silat ni". 

Ini antara ayat yang sudah muak kita dengar. Jelas ia berunsur sindiran dan bertujuan merendah-rendahkan Silat Melayu. Hairannya kita tidak pernah dengar pula sindiran begitu ditujukan kepada aliran beladiri lain dari luar seperti Taekwondo, Karate, Jiujitsu, Muay Thai dan lain-lain. 

Kali ini saya ingin bercerita sedikit tentang Ilmu Jatuh. Satu ilmu penting yang dipandang ringan. 

Suatu hari Arwah Aki Jamal bercerita pengalamannya ketika beliau belajar dengan gurunya, Haji Hamid Hamzah. 

"Uda tu kalau mengajar silat dia buat betul-betul. Dia mengajar aku buah tangkap, seminggu aku tak boleh nak sujud. Sembahyang duduk aje".

Begitulah kuatnya impak dari buah tangkap. Seminggu Arwah Aki cedera. Tujuan sebenar beliau bercerita ialah untuk memberi penekanan tentang kepentingan ilmu yang akan diajarkan selepas itu.

Selepas bercerita, Arwah Aki pun menurunkan ilmu jatuh. Ya, sebelum belajar menjatuhkan lawan, kita sendiri perlu belajar jatuh dahulu. Selepas belajar, wajib pula buat latihan. Ulang dan ulang. Berbulan-bulan diulang setiap kali sesi latihan. Sesetengah orang sekarang cepat bosan dengan latihan sebegini. Tapi beginilah caranya orang dulu-dulu berlatih. Tak kenal erti penat dan bosan.

Bertahun-tahun kemudian, saya menghubungi semua sahabat-sahabat segelanggang dahulu. Masing-masing dengan kehidupan masing-masing. Membawa haluan berbeza. Ada yang merantau, ada yang sambung belajar, ada yang berkerjaya, berniaga, berumahtangga dan lain-lain. Namun semuanya masih berlatih dan mengamalkan silat.  Kami berkongsi tentang pengalaman tentang peranan silat dalam kehidupan.

Rupanya salah satu ilmu yang paling kerap digunakan, ialah ILMU JATUH!

Ada yang gunakan ilmu ni masa terjatuh di tempat kerja, ada yang gunakan masa kemalangan motosikal, terlanggar haiwan melintas masa menunggang, ada yang guna masa kemalangan menaiki basikal dan macam-macam lagi. Kecederaan yang dialami adalah sangat minimum kalau nak dibandingkan dengan kelajuan masa terjatuh.

"Berguna betul ilmu silat ni. Bukan untuk bergaduh saja", bisik hati kecil saya.

Saya terkenang satu peristiwa, satu hari saya mendapat berita Arwah Aki terlibat dalam kemalangan semasa menguji motosikal klasik berkuasa tinggi yang baru dibaikinya. Tayar motosikal Aki pecah tiba-tiba ketika beliau sedang menunggang laju di satu selekoh. Terkejut dengan berita itu, saya bergegas ke rumah Aki. Di usianya yang telah melebihi 70 tahun, macam-macam kebarangkalian yang terlintas di minda saya. Sebaik sampai di rumah Aki, saya melihat beliau sedang berlunjur atas lantai dengan belakang badan menyandar santai di kerusi. Kelihatan luka-luka calar tanpa sebarang patah dan seliuh. Sambil tersenyum dan tertawa beliau berkata,

"Tak ada apa.. Luka sikit aje..".

Secara peribadi, saya berpendirian bahawa silat masih unggul merentas zaman. ~ 

A.R.~

02.04.2022

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...