Wednesday, December 10, 2014

ISTIADAT MENGAROK

Istiadat Mengarok
Istiadat Mengarok ialah satu istiadat tradisi Negeri Pahang. Berdasarkan Hikayat Pahang, mengarok berasal dari Bugis yang dibawa oleh Bugis dan diketuai oleh seorang panglima bernama Selawatang. Askar-askar ini dibawa oleh Ungku Temenggong Teluk Belanga Singapura ke Pahang untuk membantu Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad sebaik sahaja masuk balik ke Pahang bersama Syed Idrus dari Kelantan. Upacara mengarok pertama sekali diadakan ialah di Chenor untuk mengalu-alukan Wan Ahmad diangkat oleh Orang Besar Pahang menjadi Bendahara Pahang bergelar Bendahara Sewa Raja pada 10 Jun 1863. Selepas itu, acara mengarok diadakan dari semasa ke semasa seperti dalam Istiadat Perkahwinan Diraja, Hari Keputeraan, Istiadat Pertabalan Diraja dan apa jua Istiadat Diraja yang diadakan secara besar-besaran seperti Istiadat Berkhatan dan Bertindik dan sebagainya.


Lazimnya, bilangan peserta mengarok terdiri daripada 40 orang lelaki yang dibahagikan kepada dua pasukan dan setiap pasukan mempunyai ketua. Para peserta hendaklah terdiri daripada orang-orang sesama sendiri yang tidak bermusuhan dan bersengketa serta mesti pandai bersilat.  Jika mengarok digunakan untuk majlis perkahwinan, satu pasukan dianggap sebelah pengantin lelaki, manakala sepasukan lagi dianggap sebelah pengantin perempuan. Pasukan pengantin perempuan hendaklah menyediakan beberapa pasukan penunggu di tempat-tempat tertentu. Apabila bertembung dengan pasukan pengantin lelaki, pasukan pengantin perempuan dianggap kalah dan diserap dalam pasukan mengarok sebelah pengantin lelaki. 

Pasukan berkeris
Sebelum bertolak atau bermulanya upacara mengarok, doa selamat dibacakan. Kemudian, sambil mara mereka berselawat. Setelah sampai ke tempat yang dituju dan dijanjikan, kedua-dua pasukan mara seperti berperang sambil melaungkan ‘chah, arok’ berkali-kali dan melakukan pencak silat. Apabila kedua-dua pasukan ini bertembung mereka akan mencari lawan dan bergelut sambil bersorak-sorai. Keadaan ini berlaku selama empat hingga lima minit. Apabila tangan yang menghunus keris bersilang, bahu bertemu bahu dan berdiri di atas sebelah kaki (sebelah kaki lagi diangkat seolah-olah sedang menyerang lawan),ia menandakan serangan itu sudah berakhir. Walau bagaimanapun hal ini tidak bererti upacara mengarok sudah berakhir kerana ia diteruskan lagi sehingga beberapa kali mengikut perjanjian. Pasukan mengorak diketuai atau dibarisi dengan panglima yang gagah dan handal. Setiap pertempuran akan didahului oleh mereka yang berjumlah empat hingga lapan orang dan kemudian barulah diikuti oleh pengikut-pengikut yang lain. Kebiasaannya, upacara mengarok berakhir dengan persembahan pencak silat oleh sepasang pendekar. 

Sepasang Pendekar Bersilat



Sumber Petikan : Yaakub Isa,( KGKP )
Sumber : http://www.facebook.com/pages/WARISAN-MELAYU-PAHANG/263732246979199
             : http://muzium-pahang.blogspot.com/2014/07/upacara-mengarok.html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...