Tuesday, February 25, 2014

KISAH HAJI HAMID DAN TOK GURU PERAMU~

Tok Peramu

Assalamualaikum, dalam usaha saya mengungkap peristiwa-peristiwa yang melibatkan tokoh-tokoh lagenda tanah air, saya terpaksa berhati-hati kerana takut tersilap fakta. Ini berkemungkinan besar akan mengundang kritikan-kritikan yang boleh membenam kredibiliti cerita yang akan saya sampaikan. Walaupun cerita ini telah berkali-kali disampaikan oleh ayahanda saya, tetapi saya masih terpaksa membuat sedikit research dan fieldwork.

Pada tahun 70an ayahanda saya telah ditugaskan mengajar di Sekolah Menengah Alor Akar dan tinggal dalam kuarters belia di batu 5 jalan Gambang. Selepas pengakuan dan kematian pahlawan melayu, Mat Kilau pada tahun 1970, muncul pula seorang lagi tokoh melayu yang dipanggil Tok Guru Peramu atau lebih dikenali sebagai Tok Peramu. Ramai yang mengatakan beliau ini Dato Bahaman, orang kaya Semantan tetapi beliau tidak pernah mengakuinya.

Ayahanda saya berkesempatan mengenali beliau dan banyak kali bertanya samada beliau ini Tok Bahaman. Bila ditanya soalan tersebut,Tok Peramu sedikit pun tidak memberi sebarang jawapan hanya mendiamkan diri sahaja.Pada waktu yang sama Cikgu Jamal mengajar silat juga di kuarters belia tersebut dan sempat juga membawa Haji Hamid untuk mengkhatamkan murid-murid silatnya disana. Peluang ini diambil oleh ayah saya untuk membawa Haji Hamid untuk berjumpa dengan Tok Peramu.

Pada ketika ini, Tok Peramu tidak berapa baik penglihatannya. Matanya sudah kecut dan agak terperosok tidak membonjol macam mata orang biasa. Bezanya matanya kering tidak seperti orang lain yang mengalami situasi yang sama iaitu air mata sentiasa meleleh. Beliau memakai cermin mata hitam untuk mengelakkan silau agaknya.

Apabila berjumpa Tok Peramu, Cikgu Jamal telah memperkenalkan Haji Hamid kepada beliau " Tok, tok inilah guru saya, yang mengajar saya silat dulu" Dalam tak berapa nampak Tok Peramu telah mencapai tangan Haji Hamid yang berulas itu dan terus tersentak. Dalam pelat kelantan, " Ini bukan sebarang tangan, Ini tangan membunuh" Lalu Haji Hamid pun bertanya " Tok,tok kalau boleh kita nak tahu setara mana Bahaman ni? Tok Peramu terus menjawab " Kito la Bahame."

Lalu beliau terus bercerita bertapa susahnya beliau semasa semasa menentang British. Antaranya terpaksa membawa burung merpati hidup sebagai bekalan serta mencari umbut untuk dibuat juadah Tuan, tuan Tok Peramu tidak pernah mengakui beliau ini Tok Bahaman cuma kepada orang-orang tertentu sahaja. Kerajaan negeri Pahang sendiri tidak pernah mengakui beliau sebagai Tok Bahaman. Mungkin kerana menjaga rahsia ini Haji Hamid tidak membawa cerita ini ke Muar. Tok Peramu telah meninggal dunia pada 23 Julai 1977.

Marilah kita sedekah Alfatihah kepada beliau serta pahlawan melayu yang lain. Selamilah semangat perjuangan mereka. Al-fatihah~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...