Tokoh Lagenda Seni Silat Sendeng Haji Hamid

Haji Jamaludin Shahdan dan gurunya Haji Hamid Hamzah

M

M

Tuan Haji Jamaluddin Bin Shahdan

Dalam Kenangan

Kursus Pemantapan Sendeng Haji Hamid

Kursus pemantapan sendeng ini diadakan di Kuala Dong, Raub.

Thursday, January 8, 2015

TEWASNYA PENDEKAR IJOK

Temenggung Abu Bakar

Satu kisah dalam lipatan sejarah..

Tewasnya Pendekar Ijok ( sejuk ) pada ilmu gagum ( ragum )
Kisah ini telah diceritakan kepada Tn Haji Jamaludin ( Aki ) oleh Allahyarham Tn Haji Hamid bin Haji Hamzah.

Apabila Temenggung Abu Bakar, Johor telah mendapat persetujuan British untuk membantu bapa mertuanya Tun Mutakhir dalam Perang Saudara Pahang ( 1857 - 1863 ), beliau telah menghantar satu ketumbukan tentera yang besar termasuklah 600 askar upahan bugis. Namun sebelum baginda boleh menghantar tentera-tenteran itu kesana, baginda telah pun mengarahkan seorang perisik yang hebat bernama Pendekar Ijok untuk membuat tinjauan di Pahang dan menyampaikan maklumat kepada beliau kembali.

Keistimewaan Pendekar Ijok ialah kehebatanya berjalan cepat pada waktu malam. Tu sebab orang panggil Pendekar Sejuk. Beliau telah berjalan satu malam dari Segamat dan tiba di Pekan esoknya.

Setelah membuat tinjauan kekuatan musuh dan mendapat khabar berita terkini disana beliau kembali dan menghantar lapuran kepada Temenggung Abu Bakar.

Namun apabila Temunggung Abu Bakar menjadi ditabalkan menjadi Sultan, Pendekar Ijok tidak mau mengaku taat setia kepada baginda serta enggan mengadap baginda
Mungkin kerana pengambilan Muar-Kesang selepas peperangan Jementah 1879 dan meletakan segamat dibawah pemerintahan Johor. Ada juga cerita yang mengatakan beliau menganggap sultan Johor sebenar berada Riau.

Apabila Sultan Abu Bakar mendengar perkhabaran itu, beliau telah mengarahkan seorang anggota polis Johor bernama Sarjan Bolen untuk menangkap Pendekar Ijok. Sarjan Bolen juga merupakan anak murid kepada pendekar Ijok.

Sarjan Bolen telah berjumpa dengan Pendekar Ijok dirumah beliau, serta merta Bolen memegang pergelangan tangan pendekar Ijok sambil berkata:

"Tok, tok tuanku sultan perintahkan tok mengadap"

Pendekar ijok menjulang tangan beliau untuk melepaskan diri dari genggaman Bolen, Terlambung sarjan Bolen jatuh berdentam,tapi tak lepas genggaman itu. dijulangnya sekali lagi tak lepas juga. Kali ke tiga dijulangnya pendekar Ijok terlambung sekali, patah alang rumah tembus keluar dari atap dan jatuh kedua-duanya dihalaman rumah. genggaman itu tetap kemas.Maka Pendekar Ijok pun berkata:

" Ilmu ni tak ada pada aku, bolehlah engkau tangkap aku"

Lalu sarjan boleh mengikat 7 batang kemuncup di kedua ibu jari tangan Pendekar Ijok sebagai gari dan dibawanya mengadap Sultan Abu Bakar.

Sultan Abu Bakar memandang pendekar Ijok sambil berkata

" Engkau nak mengaku aku ni sultan tak?"
"Mohon ampun,tidak patik menganggap tuanku sultan" jawab Ijok
Sayang sultan pada Ijok
" Kalau engkau mengaku aku ni sultan engkau, aku akan bebaskan engkau dan lupakan segala-galanya" titah tuanku
Tidak juga Pendekar Ijok hendak mengaku baginda sebagai sultan. Akhirnya Pendekar Ijok telah dipenjarakan dan beliau telah meninggal di dalam penjara tersebut. tamat

ps
korek cerita sejarah lisan ni best boleh kongsi bersama. kalau tidak hilang begitu saja
admin

Tuesday, December 30, 2014

TAKZIAH PANTAI TIMUR

Salam Takziah

Disember 2014 mungkin adalah hujung tahun yang paling diingati oleh sebahagian besar penduduk pantai timur Semenanjung Malaysia. Mereka diuji dengan musibah banjir besar yang mengorbankan harta benda, kenderaan, kediaman, ternakan, tanaman, malah turut mengorbankan nyawa. Takziah diucapkan kepada semua mangsa. Berdoalah kita kepada Yang Maha Esa agar mengurniakan pertolongan dan kekuatan kepada mereka bagi menghadapi ujian yang berat ini. Semoga berkat kesabaran mereka itu bakal menjadi bekal buat mereka di belakang hari. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar..~

Wednesday, December 17, 2014

PEMUKUL GONG ZAMAN DAHULU

Gong dan pemukul gong

Satu hari Aki membelek pemukul gong kat rumah saya lepas tu dihidunya.., lepas tu dia ketawa mengingatkan peristiwa lampau. 

" Engkau tahu Sidek pemukul gong dulu dibuat daripada apa?"

" Mana tau abah jawab saya"

" dulu getah sekerap dia orang lilit dekat kayu pemukul tu.. lepas dah elok berbuku , dia ambil pulak telur lembu orang sembelih buang isi dalam, bila dah keluar isi dalam pusing balik keluar, Pastu dia sarongkan getah sekerap tu. Bila dah kering elok je mengucup, Tapi baunya nauzubillah tak boleh nak cakap. Pemukul gong Haji Hasan buat daripada tu lah. Aku kecik dulu aku ambik pemukul Haji Hasan pastu aku bau, Haji Hasan tengok " baulah bau" Hui busuk nak mampus!

Aki menamatkan cerita dengan ketawa lagi Saya pun tengok pemukul gong saya. terkebil dan berfikir... tak sanggup nak cium. ha ha ha

Monday, December 15, 2014

SELAMAT PENGANTIN BARU SAHABAT

SELAMAT PENGANTIN BARU~!

Alhamdulillah, pada tanggal 13 Disember 2014 lalu, seorang ahli keluarga Seni Silat Sendeng Haji Hamid, saudara Tengku Syazni telah pun melangsungkan upacara pernikahan bersama pasangannya Nurfaizatul Nazreen. Majlis yang diadakan di Dewan Kampung Pamah Rawas Ulu Dong itu berjalan dengan penuh meriah dan gilang gemilang. Majlis turut dihadiri oleh sanak saudara, sahabat handai dan turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran sahabat-sahabat seperguruan. Persembahan istimewa dari para pesilat Daerah Raub dan Bentong dipersembahkan bagi meraikan hari penuh berbahagia ini. Semoga sahabat kami Syazni dan pasangan akan berbahagia hingga ke anak cucu.

Ketibaan Pengantin

Menyambut Pengantin

Atur barisan

Pasangan Mempelai

Sembah Tari Pedang

Gelut Tangan Kosong
Persembahan dari adik Pengantin
Gelut Badik

Gelut Parang

Para pemain Gendang Silat

Gelut Kerambit

Senyum.....

Gambar Kenangan

SEMOGA BERBAHAGIA









PERSEMBAHAN GELANGGANG CHAMANG

Persembahan ini dilakukan sempena menyambut ketibaan pengantin pada 14 Disember 2014 lalu. Majlis penuh gilang gemilang ini berlangsung di Felda Mempaga 2. Persembahan dilakukan oleh pesilat-pesilat dari Gelanggang Seni Silat Sendeng Haji Hamid Chamang di bawah seliaan saudara Amirul. Turut serta menyerikan persembahan ialah saudara Fadzli.













Sunday, December 14, 2014

ADAB & TATACARA

Silat dalam ertikata yang luas tidak sahaja terhad kepada seni beladiri semata-mata malahan mengandungi ciri-ciri warisan budaya yang telah diwarisi turun-temurun oleh masyarakat Melayu sejak beratus tahun yang lalu.
Disini dipaparkan sebahagian dari tatacara dan warisan tersebut yang menyentuh adab belajar, rukun perguruan, tatacara berpakaian dan peralatan gendang silat.

Adab Belajar

Sebagai salah satu daripada warisan budaya Melayu yang berlandaskan syariat Islam, Seni Silat Sendeng amat menekankan adab-adab yang seharusnya diamalkan semasa mempelajari dan mempraktikan Seni Silat Sendeng. Adab belajar disimpulkan oleh Haji Abdul Hamid melalui kata-kata berikut:-

"Kalau menuntut hendakkan berkat, biarlah timba mencari perigi bukannya perigi mencari timba. Kerana setinggi manapun ilmunya tetapi tiada berkat, ibarat keris yang tidak berbisa,kalau kena pun tidak memberi mudarat. "

"Orang yang berakal itu akan berfikir ketika diam dan orang yang berfikir itu akan ingat sampai bila-bila."

"Belajar dengan tidak berfikir adalah bahaya dan berfikir tanpa belajar akan kecundanglah kita."

"Biar pahit di gelanggang tetapi manis di luar gelanggang."

Rukun Perguruan

Rukun atau dasar asas di dalam Seni Silat Sendeng Malaysia ialah:-

Mentaati perintah Allah dan rasul, anjuran dan suruhan Nya serta menghindari segenap larangan dan cegahan serta yang dicela Nya.
Menyantuni kedua Ibubapa, Guru-guru, Jurulatih (lama dan baru), keluarga tua, sebaya dan muda serta rakan seperguruan.
Memelihara maruah dan kehormatan Seni Silat Sendeng Malaysia dan kerukunan hidup kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Menjauhi sifat-sifat takbur, ujub, riak, hasad sesama insan dan menghindari dari pertelagahan sesama seperguruan dan berlawan dengan orang lain, melainkan dalam keadaan terdesak dan tercabar.
Menghormati budaya Silat Melayu yang lain serta seni bela diri bangsa asing.
Permainan Gendang Silat

Penggunaan bunti-bunyian atau muzik (gendang) memang wujud sejak dahulu lagi. Muzik digunakan untuk mengiringi latihan, persembahan serta majlis adat istiadat.

Di dalam Seni Silat Sendeng, kumpulan muziknya terdiri dari empat orang iaitu dua orang daripadanya memukul gendang (gendang ibu dan gendang anak), seorang meniup serunai dan seorang lagi memalu gong. Terdapat tiga irama atau rentak asas yang dimainkan semasa mengiringi persembahan seni silat sendeng iaitu :-

Gendang Rentak Inai
Gendang Rentak Pahlawan
Gendang Rentak Sendayung

Sumber: https://www.facebook.com/notes/sendeng-johor/adab-tatacara/137404066276135

FALSAFAH DAN KONSEP SENI SILAT SENDENG

Mendahului serangan

Pada masa dahulu pembelajaran Seni Silat Sendeng lebih menumpukan kepada aspek seni beladiri ataupun lebih dikenali sebagai “pukul”. Berdasarkan prinsip, menyerang adalah sebaik-baik belaan, latihan-latihan Seni Silat Sendeng pada ketika itu lebih menjurus kepada memahirkan teknik-teknik mendahului serangan musuh. Prinsip ini diterjemahkan di dalam bentuk teknik beladiri yang 99 peratus menyerang dan 1 peratus menunggu.

Dalam ertikata lain, pesilat sendeng amat jarang menunggu serangan sebaliknya memintas serangan musuh berdasarkan isyarat yang dipamerkan oleh musuh yang bersedia untuk menyerang.

Isyarat ini juga disimpulkan di dalam falsafah yang berbunyi "Dalam terang ada cahaya, dalam kilat ada kilau, dalam seni ada halus, dalam silat ada silau,dalam gayang ada gerak, dalam gerak ada bayang."

Pesilat Sendeng akan dapat mendahului serangan setelah 'masak gerak' iaitu kemahiran untuk mengenal punca punca gerak ataupun ibu gerak samada pergerakan tangan, kaki ataupun mana-mana bahagian tubuh. Secara khusus, pergerakan halus dikenali sebagai gerak manakala pergerakan kasar pula dikenali sebagai gayang.

Bagi membolehkan pesilat sendeng mendahului serangan lawan, beliau perlu memahami konsep ibu pukul serta menguasai teknik memati gerak dan memati pukul. Konsep mendahului serangan diterangkan melalui falsafah yang berbunyi "Gerak engkau gerak aku, mula engkau aku tiba, langkah engkau gayang aku, serangan kau makanan aku." Ini bermakna lagi pantas musuh menyerang lagi pantas kita serang.

Dalam keadaan musuh menyerang dengan pantas kita matikan serangannya. Sebab itulah walaupun pada dasarnya pihak lawan cuba menyerang dahulu tetapi pergerakan lawan itu dapat dipintas dan akhirnya pesilat Sendeng yang memukul.

Selain daripada itu, pesilat Sendeng juga perlu mempunyai keberanian dan dapat mengunakan akal yang waras semasa menghadapi sesuatu serangan. Saat menghadapi musuh ini disimpulkan didalam falsafah yang berbunyi 'Gerak, gayang, pantas, berani, berakal'. Gerak dan gayang pada musuh tapi pantas, berani dan berakal pada kita.

Konsep mendahului serangan bertujuan untuk menghapuskan punca ancaman seperti yang ditekankan di dalam falsafah Sendeng yang berbunyi "Yang memukul itulah di pukul, yang menyerang itulah yang diserang, yang menyakitkan itulah yang disakitkan."

Akhirnya, seorang pesilat Sendeng yang telah benar-benar mahir dan memahami konsep mendahului serangan akan mencapai tahap dimana "Penamat belajar mengelak, tak payah mengelak, penamat belajar menepis, tak payah menepis” dan "Capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup."

Pergerakan Relatif

Sendeng dalam erti kata lain juga bermaksud ialah sandar. Pukulan Sendeng yang dilakukan secara lazimnya menyandar atau menumpang kepada kekuatan, kelajuan, kemarahan dan kemaraan pihak lawan.

Falsafah Sendeng berbunyi 'cepat datang cepat pula jatuh, besar yang datang besar perginya'. Falsafah ini mengariskan konsep di dalam Seni Silat Sendeng di mana pesilat membela diri secara relatif dengan menggunakan kekuatan dan kepantasan pihak lawan.

Terdapat juga falsafah Sendeng yang berbunyi "Kalau dia datang sekati kita beri dia dua kati. Dia datang sepikul, jatuh dua pikul, kita sepikul dia sepikul."

Pergerakan yang hidup


Di dalam Seni Silat Sendeng setiap teknik pergerakan adalah hidup seperti falsafah yang berbunyi 'tangan itu yang menumbuk dan tangan itu juga yang menepis'. Setiap serangan yang dimulakan ia akan berlapis-lapis sebab pesilat sendeng dilatih melakukan dua kerja serentak.

Falsafah Sendeng menekan pergerakan yang hidup "Ada datang ada pergi, ada hidup ada mati, ada sakit ada ubatnya, ada tumbuk ada penepisnya, ada tangkap ada pelepasnya dan ada kunci ada pembukanya."

Praktikal


Teknik beladiri di dalam Seni Silat Sendeng lebih menekankan kepada cirri-ciri praktikal dan keberkesanan. Ini digambarkan oleh falsafah yang berbunyi "Sendeng itu permainannya buruk tetapi kenanya bonyok. Pukulnya hodoh, kena lodoh." dan "Pukul sendeng datangnya tak tegak tetapi kenanya tepat."

Haram di sentuh


Sendeng juga mengamalkan falsafah 'haram di sentuh'. Haram bukan dari segi agama tetapi haram yang dimaksudkan ialah tidak dibenarkan sama sekali pukulan sendeng disentuh atau ditangkap. Bagi Seni Silat Sendeng pukulan lebih pantas dari kunci kerana pukul sendeng bukan pukul bermalam dan diterangkan di dalam falsafah berbunyi "Belum sempat nak tangkap dah terlepas, sorong kena tarikpun kena."

Sesuai dengan peredaran masa dan undang-undang, kaedah pembelajaran Seni Silat Sendeng kini telah dirombak dan disusun semula. Berdasarkan konsep, teknik dan adab aliran kuntau, sendeng dan pukul 7 hari, Seni Silat Sendeng kini telah diadun menjadi satu sistem seni beladiri yang berkesan, praktikal, selamat, menjimatkan masa dan pergerakan, disamping menekankan aspek kecergasan fizikal dan mental serta memupuk sikap-sikap positif seperti displin diri, sabar, berlapang dada dan bersungguh-sungguh di dalam setiap pekerjaan

Sumber: https://www.facebook.com/notes/sendeng-johor/falsafah-dan-konsep-seni-silat-sendeng/137403789609496

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...