Saturday, August 6, 2022

Kisah Allahyarham Haji Hamid memenggal kepala Ketua Komunis Bintang 3 di Sungai Mati.


Kisah ini dititipkan kepada saya sendiri oleh Pakcik Ahmad Nazari bin Haji Abdul Hamid setelah mendengarnya daripada Allahyarham Andak Rahani dan isteri kepada Almarhum Alang Hamid sendiri.

Kejadian ini berlaku dalam tempoh 2 minggu selepas Jepun menyerah kalah dalam perang dunia ke dua dan British belum lagi tiba ke Tanah Melayu. Ketika tiada siapa yang memerintah Tanah Melayu , pihak komunis telah keluar dari hutan dan bermaharajalela sesuka hati mereka. Mereka dengan sewenang-wenangnya menculik dan membunuh sesiapa sahaja yang difikirkan menentang mereka pada ketika itu.

Di Kampung Sungai Mati, mereka telah keluar dari hutan beramai-ramai dan menjadikan sebuah Sekolah Cina di Kampung itu sebagai markas operasi mereka. Maka mulalah mereka memerintah dengan penuh angkuh dan kejam. Ramai melayu yang menjadi mangsa dan hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan. Orang Melayu ketika itu hidup dalam suasana penuh ketakutan.

Salah seorang yang menjadi mangsa ialah Alang Hamid yang mempunyai seorang isteri dan 2 orang anak yang masih kecil ketika itu. Tak tahu di manalah silapnya beliau, komunis bintang 3 telah bertindak menangkap beliau lalu dimasukkan ke dalam guni. Kemudian Alang Hamid terus dibawa pergi dengan diiringi pekik tangis isteri dan anak-anak beliau yang masih kecil. Itulah kali terakhir isteri serta anak-anak beliau melihatnya masih hidup. Sehingga kini kuburnya tak tahu di mana.

Apabila mendapat khabar berita gempar itu, Arwah Uda yang pada ketika itu masih lagi muda, telah bertindak pantas menyembunyikan isteri dan anak-anak Alang Hamid di Pulau Penarik bagi mengelakkan perkara sama berlaku ke atas isteri dan anak-anak Alang. 

Melihat keadaan anak isteri Arwah Alang Hamid ketika itu, tahap kesabaran Uda sudah sampai ke penghujungnya. Setelah memperolehi gambaran kasar rupa si ketua bintang 3 keparat itu, beliau telah bertindak mengasah parang beliau sehingga tajam. Dalam hati beliau bintang 3 ni mesti diberi pengajaran dan ketua mereka mesti mati.

Haji Hamid kemudiannya bertindak berselindung di belakang sebatang tiang elektrik sambil memerhati keadaan di Pekan Sungai Mati, menunggu kelibat si sepet yang dihajati itu. Parang yang dibawa beliau telah disisipkan di tiang elektrik tersebut. Setelah sekian lama menunggu, akhirnya kelibat si ketua Bintang 3 itu pun muncul.

Si ketua komunis tersebut telah memasuki sebuah kedai basikal di Kampung Sungai Mati itu. Tak tahu apa puncanya, seketika kemudian telah berlaku pertengkaran diantara tokey kedai tersebut dan si komunis itu tadi. Peluang keemasan itu segera dimanfaatkan oleh Uda Hamid. Ketika si ketua tersebut sedang leka memarahi tauke kedai itu, Haji Hamid pun mencabut parang yang disisip pada tiang letrik yang disandarinya dan segera menghampiri si komunis tersebut. Tanpa bercakap sepatah pun beliau terus menghayun parang yang dipegangnya.

" Syiap!!!"

Dengan sekali libas sahaja terus terpisah kepala komunis itu dari badannya. Kepala itu seakan-akan terlambung sebelum jatuh bergolek di lantai kedai basikal itu. Badanya kemudian rebah ke lantai tergetik-getik sambil darah pekat menyembur keluar dari puntung leher dan menyirami lantai dan badan tauke kedai basikal tersebut yang pada ketika itu menjerit jerit terpekik terlolong.

Haji Hamid kemudiannya tenang berjalan kaki balik ke rumah dengan tangan serta parang yang berlumuran darah. Setibanya di rumah, barulah Uda Hamid perasan yang dibawa balik itu hanyalah parang sahaja sedangkan sarungnya masih terselit di tiang elektrik di Sungai Mati berhampiran tempat beliau memenggal kepala komunis itu tadi.

Tanpa banyak cakap beliau pun berjalan kaki semula mengambil sarung parang kepunyaan beliau itu. Ketika beliau sampai disana, kedai basikal tersebut telah pun penuh dengan anggota komunis bintang 3. Dengan selamba sahaja beliau mencabut sarung parang tersebut dan menyarungkan parangnya kembali.

Anggota-anggota komunis yang tergamam dengan kehadiran beliau kembali ketempat itu, hanya memerhatikan beliau dengan penuh ketakutan tanpa berbuat apa apa.

Tindakan beliau yang berani memenggal kepala ketua Bintang 3 dan kemudiannya dengan bersahaja mengambil sarung parang yang tertinggal telah menimbulkan perasaan takut dan gerun di kalangan komunis bintang 3 itu. Mereka segera bertindak meninggalkan markas sekolah cina itu dan kembali ke hutan.

Bagi keluarga Alang Hamid, setelah sekian lama mereka menunggu tanpa khabar berita dari Alang Hamid, telah mengambil keputusan untuk berpindah ke Segamat dengan mengambil kira Alang Hamid berkemungkinan besar sudah lama mati dibunuh oleh pihak komunis.

Pada tahun diantara 1989/90, Haji Hamid telah jatuh gering dan dimasukkan ke HKL dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pada ketika itu Arwah Haji Hamid telah ditemani oleh Isteri beliau serta Pakcik Ahmad Nazari sekelamin. Suatu hari, mereka bertiga telah dikejutkan dengan kehadiran seorang perempuan berusia dalam 70an bersama sama dengan 2 orang anak lelaki dalam usia 40an.

Sebaik baik melihat muka Uda, perempuan tua itu pun terus menangis teresak-esak sambil mengiakan kepada kedua anak-anak beliau bahawa inilah insan yang pernah menyelamatkan mereka bertiga. Rupa-rupanya anak perempuan itu setelah mendapat tahu Uda Hamid dari Sungai Mati telah dimasukkan ke HKL telah menelefon ibu mereka untuk ibunya mengesahkan bahawa inikah orang yang ibunya selalu sebut-sebutkan. Maka Ibunya telah bertolak dengan seorang anaknya lagi dari Segamat untuk bertemu dengan Haji Hamid bagi mengucapkan ribuan terima kasih.

Di sinilah baru Tok Besah, Pakcik Ahmad Nazari sekelamin tahu cerita yang lebih lanjut kerana peristiwa itu berlaku ketika Uda Hamid masih lagi muda dan masih belum berkahwin. Arwah Uda pula sememangnya jenis berat mulut untuk menceritakannya sendiri.

Perempuan itu turut sama menjaga Uda Hamid selama seminggu dengan harapan arwah Uda sedar agar dapatlah beliau mengucapkan terima kasih secara secara peribadi.

Namun kita punya usaha Allah punya Esa, setelah seminggu berada disitu Arwah Uda masih juga tidak sedarkan diri. Dengan rasa berat hati, perempuan itu pun kembali ke Segamat.

Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan menulis kisah ini, segala salah dan silap saya mohon ribuan maaf dan berharap kisah ini dapat menyuntik semangat anak-anak Melayu untuk mempelajari silat. 

Sama-sama kita sedekahkan Al- Fatihah kepada pejuang pejuang dan pahlawan kita yang telah gugur serta guru guru Sendeng yang telah pergi.

 Al - Fatihah

Admin -07 Ogos 2022

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...